Ingat kembali apa tujuan sertai PAS

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Seluruh pendokong perjuangan PAS diingatkn agar mengingati kembali hasrat dan niat masing-masing ketika membuat keputusan menyertai parti itu.

Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Sidek Noor berkata, kita menyertai PAS adalah kerana ia adalah satu-satunya jamaah Islam yang jelas dengan matlamat dan dasarnya.

Menurutnya, PAS adalah sebuah gerakan Islam yang meletakkan Islam sebagai dasar, pegangan dan panduan utama melebihi segala-galanya.

Kata beliau, umum mengetahui ke semua mereka yang menyertai PAS kerana percaya berjuang bersama jamaah Islam itu adalah merupakan satu kewajipan.

"Setakat ini, belum terdapat sebab-sebab yang membolehkan kita (ahli PAS) keluar daripada jamaah Islam ini.

"Saya menyeru seluruh pendokong khususnya pimpinan parti agar terus istiqmah di dalam perjuangan berlandaskan Islam ini," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam usaha memastikan ahli dan pimpinan parti untuk terus istiqamah, Lajnah Tarbiyah PAS Perak katanya akan melancarkan program memperingatkan rukun-rukun bai'ah.

Sidek menyatakan, pihaknya bersama Dewan Ulamak PAS Perak akan turun ke semua peringkat untuk tujuan tersebut bermula bulan hadapan.

"Insya-Allah, Lajnah Tarbiyyah PAS Perak akan melancarkan program dalam memperingatkan kembali rukun-rukun bai'ah, ia akan digerakkan di semua peringkat.

"Saya yakin, gelombang yang sedang hangat ini tidak akan memberi kesan kepada PAS sebaliknya jamaah ini tetap akan dipelihara oleh Allah," tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/7/2015

Share on Myspace