Penyokong DAP pertahan kerajaan Kelantan – DHPP

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menjangka sokongan bukan Muslim terhadap PAS dan kerajaan negeri tidak terjejas setelah tiada lagi hubungan rasmi dengan DAP.

Ketuanya, Lim Guan Seng (Gambar bawah) berkata sehingga sekarang tiada organisasi rasmi DAP di Kelantan biarpun parti itu mendakwa mempunyai ahli dan penyokong di sini.

Katanya tiada peranan dimainkan parti itu secara langsung kepada masyarakat Cina di Kelantan.

“Ketika pemimpin DAP Pusat datang ke Kota Bharu, ahli dan penyokong mereka di sini saya difahamkan tidak diberitahu.

“Begitu juga pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan penghulu dibuat atas kuota wakil kaum dan bukannya parti politik,” katanya.

Sebelum ini Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen dilaporkan mengumum tiga penghulu yang dilantik atas kapasiti DAP di Kelantan meletak jawatan.

Peletakan jawatan itu berikutan usul Dewan Ulama PAS pada muktamar lepas memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

Penghulu terbabit iaitu Irene Tan mewakili Dun Tanjung Mas, David Ng Yang Seng (Kota Lama) dan Tang Chee Hung (Galas).

Bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri masih memberi peluang mereka berkhidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakili.

Guan Seng yang juga Timbalan DHPP Pusat berkata penghulu terbabit masih lagi menjalankan tugas seperti biasa.

Malah katanya mereka tetap meneruskan tugas bagi mempertahankan kerajaan negeri biar pun berdepan dengan tindakan dipecat sebagai ahli DAP.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan penghulu bukan Muslim dalam masa terdekat bagi membincang usaha menarik sokongan bukan Melayu di luar Kelantan. – HARAKAHDAILY 23/7/2015

Share on Myspace