Gesa prosiding tatatertib ke atas ahli PAS sertai GHB

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Empat sayap parti termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri Kelantan mendesak agar satu prosiding tindakan tatatertib dimulakan ke atas ahli dan pimpinan parti itu yang terlibat di dalam penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Dalam satu kenyataan bersama Dewan Ulama, Pemuda, Muslimat dan DHPP berpendapat tindakan mereka itu merugikan parti termasuklah menyampaikan ceramah di hadapan khalayak dan mempertikaikan PAS secara terbuka dalam satu majlis yang di adakan di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu beberapa hari lepas.

Menurutnya, tindakan tatatertib wajib diambil bagi menjaga keutuhan dan kestabilan parti dari diganggu gugat pihak yang mendakwa sebagai penyokong-penyokong GHB ini.

"Kami memantau dengan dekat perkembangan politik yang berlaku sejak kebelakangan ini khususnya di negeri Kelantan Darul Naim berikutan pengisytiharan Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam satu majlis ceramah.

"Mengikut sumber rakaman yang ada, majlis tersebut dihadiri oleh beberapa bekas pimpinan PAS termasuk beberapa orang wakil rakyat yang telah memenangi kerusi masing-masing di atas tiket PAS di dalam pilihanraya umum 13 yang lalu," katanya.

Sayap parti itu juga menegaskan akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan PAS di bawah kepimpinan Presiden,  Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad bin Yakob.

"Ia sebagai satu gambaran kesepakatan yang dicapai ekoran serangan berterusan individu-individu yang dikaitkan dengan GHB terhadap kepimpinan parti dan kerajaan," katanya.

Kenyataan bersama diwakili oleh Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Haji Hassan Mahmood, Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan Siti Zailah Yusof, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari, dan Ketua DHPP Kelantan Lim Guan Seng. – HARAKAHDAILY 23/7/2015

Share on Myspace