Harakah: Permohonan Najib diputuskan 6 Ogos

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memadamkan dua perenggan dalam pernyataan pembelaan Harakah dan Harakahdaily dalam saman fitnah difailkan beliau terhadap kedua-duanya, akan diputuskan pada 6 Ogos.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib memberitahu pemberita, dua perenggan itu merupakan salah guna proses mahkamah, tidak boleh diterima mahkamah, tidak berasas dan bertujuan untuk mengaibkan Najib.

"Harakahdaily Portal bukan sebuah akhbar, oleh itu defendan-defendan tidak boleh mendapat keistimewaan "perlindungan bersyarat'.

"Kami berhujah bahawa defendan-defendan telah gagal untuk menyatakan dengan jelas dan tepat apakah butiran yang menyokong rayuan mereka bagi komen adil," katanya.

Sementara itu peguam Faiz Fadhil yang mewakili Harakah dan Harakahdaily, berkata "perlindungan bersyarat" boleh diguna pakai terhadap portal berita kerana ia berkaitan dengan mana-mana isu kepentingan awam.

Najib memohon untuk memadamkan perenggan mengenai komen adil dan perlindungan bersyarat dalam pernyataan pembelaan itu.

Dalam saman difailkan pada 18 Mac tahun ini, Najib menamakan Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Portal Harakahdaily Taufek Yahya, sebagai defendan.

Saman itu berkaitan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Feb berhubung isu dana 1Malaysia Develoment Bhd (1MDB).

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib mendakwa artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang merujuk kepadanya dengan niat jahat bahawa beliau telah menyalah guna dana milik 1MDB.

Oleh itu, Perdana Menteri mendakwa akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasinya telah terjejas dan dikecam dalam media sosial serta media massa dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan mengaibkan.

Najib juga mendakwa Taufek telah gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab untuk mengesahkan kesahihan artikel itu sebelum menerbitkannya.

Perdana Menteri mendakwa defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya bagi meneruskan agenda defendan sendiri tanpa menghiraukan sensitiviti isu yang dibangkitkan.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta satu injunksi untuk menghalang defendan atau pembantu mereka menerbitkan semula artikel berkenaan. - Bernama

Share on Myspace