Kenyataan Khalid bercanggah dengan fakta

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan bahawa PAS akan terus mempertahankan dasar Islam selagi perlembagaan PAS tidak dipinda.

“Dasar perjuangan Islam dalam PAS bukan retorik  tetapi termaktub dalam perlembagaan PAS yakni fasal 3 dasar PAS ialah Islam, fasal 5 tujuan PAS ialah untuk memperjuangankan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah..

“Fasal 6 (2) memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara. Fasal 7 (1) adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah, Sunnah Rasulillah serta ijmak ulama dan qias,” ujar beliau kepada Harakahdaily.

Semua fasal yang disebutkan diatas menjelaskan kepada kita bahawa perjuangan PAS tidak boleh diselewengkan daripada dasar Islam. Malahan untuk menjaga dan memelihara PAS supaya tidak terkeluar daripada landasan yang betul maka diwujudkan majlis syura ulamak (MSU) yang berperanan antara lain sebagaimana yang disebutkan dalam fasal 8 (a) menghurai, menjelaskan dan mentafsirkan dasar PAS.

Dr Mahfodz juga ini mempertikaikan kenyataan Khalid Samad yang kononnya PAS telah lari daripada landasan perjuangan Islam.

Menurut beliau, kenyataan Khalid itu adalah suatu yang mengelirukan dan bercanggah dengan fakta yang sebenar.

Apabila ditanya mengenai kenyataan khalid yg menggesa PAS supaya mengadakan mesyuarat untuk memutuskan nasib G18 yang kecewa dengan kekalahan dalam pemilihan parti baru-baru ini dan akan menyertai GHB, Dr Mahfodz menegaskan bahawa tidak perlu mengajar pimpinan PAS untuk mengambil tindakan kepada ahli-ahli PAS yang menyertai GHB.

“Apabila sampai masanya nanti PAS akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Setakat ini mereka baru menyertai GHB sebagai sebuah NGO dan belum lagi menyertai parti politik. Apabila ahli PAS menyertai  parti lain secara  automatik akan gugur keahliannya.

“Mereka yang tidak suka kepada PAS serta kepimpinannya termasuk sewajarnya keluar PAS secara terhormat dan tidak perlu menunggu keputusan daripada PAS.

“Pemimpin baru sekarang masih sayangkan mereka. Oleh sebab kami menasihati mereka supaya bersabar menghadapi ujian tersebut kerana kalah menang dalam pertandingan adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi,” tegas Dr Mahfodz. – HARAKAHDAILY 23/7/2015

Share on Myspace