Semalam sejarah yang perlu dimuhasabah

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Kita datang ke dunia dalam keadaan menangis. Dalam keadaan mata bergenang air mata dan ketawa, kita meninggalkan dunia ini. Di antara keduanya, ialah pengembaraan yang dikenali sebagai kehidupan.

Allah menciptakan sesuatu dengan penuh bermakna. Kucing sukakan ikan, tapi mereka tidak boleh ke air. Ikan sukakan cacing, tapi mereka tidak boleh ke darat.

Kehidupan ini berkait dengan apa yang didapati, apa yang hilang, pilihan yang perlu dibuat dan juga keputusan untuk berputus asa.

Kehidupan tidak semestinya lancar. Bukan semua akan berlaku mengikut kehendak kita.

Oleh itu, usahlah berkira sangat dengan orang lain. Ia tidak berbaloi.

Jangan berkira dengan diri kita kerana ia sukar ditahan.

Jangan berkira dengan apa yang sudah lepas kerana ia sudah tidak bermakna.

Jangan pula berkira dengan hari ini, kerana kita perlu terus mara ke depan.

Semalam adalah sejarah yang perlu dimuhasabah. Esok adalah belum tentu. Maka harimu adalah hari ini yang perlu tabah menghadapinya. Ingatlah bersama kesusahan itu akan ada kesenangan.

Sebagaimana Allah menciptakan sesuatu dengan bermakna, mari kita teruskan hidup dengan bermakna.

Jika kita meminta air, nescaya ia datang dengan bekasnya. Kalau kita bekerja untuk akhirat, nescaya dunia akan datang bersama. Setiap orang ada membuat kesilapan, oleh itu kita perlu saling bermaafan untuk meneruskan perjalanan.

Senyum. - HARAKAHDAILY 24/7/2015

Share on Myspace