GHB tiada tempat di Kelantan

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Gerakan Harapan Baru (GHB) dilihat sukar untuk mendapat tempat di Kelantan terutama penerimaan daripada kalangan pimpinan dan ahli PAS, demikian jangkaan Timbalan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Merujuk sejarah lalu, beliau berkata perubahan politik di Kelantan memerlukan kewujudan gelombang perubahan besar sepertimana pernah berlaku pada 1959, 1978 dan 1990.

Di mana menurutnya, parti politik serpihan sukar untuk bertapak di Kelantan kerana rakyatnya sudah sinonim dan mengikat diri dengan dua parti utama Melayu Islam iaitu Umno dan PAS.

Jelas beliau, sejak sekian lama, sangat sukar bagi mana-mana parti baru untuk menarik undi penyokong tegar parti sedia ada tanpa isu-isu besar.

Terang Dr Kamarul, sejak 1959 hingga sekarang, rakyat Kelantan kelihatan selesa memilih di antara dua parti utama sahaja, iaitu Umno dan PAS.

“Jika mereka tidak puas hati dengan Umno mereka akan memilih PAS dan jika mereka tidak puas hati dengan PAS mereka akan bertukar kepada Umno kembali.

“Rakyat Kelantan diketahui mempunyai kesedaran berpolitik yang tinggi selain sanggup menanggung risiko di atas tindakan politik mereka yang berbeza dengan arus politik perdana negara.

“Bagaimanapun setakat ini keberanian ini masih dalam parameter PAS atau Umno, bukan parti politik serpihan lain,” ujarnya yang memegang Ijazah Doktor Falsafah dalam kajian mengenai PAS.

Tambahnya lagi, jika mahu dikatakan parti baru ini akan mendapat kekuatan dari wakil rakyat PAS sedia ada, perlu diingati bahawa Hamim dahulu pun dikepalai oleh beberapa wakil rakyat PAS juga.

Tetapi ujar beliau, Hamim akhirnya tidak ke mana, malah dua calonnya kehilangan deposit di dalam pilihan raya kecil Kemumin dan Selising pada tahun 1983.

Kerana menurutnya, dalam konteks Kelantan, kekuatan peribadi pemimpin tidak menjamin pengaruh pada sesebuah parti politik baru.

Hal itu jelasnya, disebabkan rakyat Kelantan mengundi parti, bukannya mengundi calon.

“Dasar perjuangan dan jentera parti ini bukan boleh dibina dengan mudah atau dalam tempoh yang singkat.

“Berjasa dan Hamim ditubuhkan oleh dua bekas tokoh politik popular di Kelantan, iaitu Datuk Mohamad Nasir dan Tan Sri Mohd Asri Muda yang keduanya merupakan bekas Menteri Besar sewaktu berada di dalam PAS.

“Tetapi parti-parti ini sekalipun, masih juga gagal memberikan impak yang besar kepada politik Kelantan,” terangnya.

Menurut beliau lagi, GHB juga tidak terdiri dari tokoh politik Kelantan seperti Dato’ Husam Musa sebagai pendokong utama.

Sebaliknya, ia terdiri dari tokoh politik Pantai Barat Semenanjung iaitu diterajui Mohamad Sabu dan Salahudin Ayub.

Ini katanya, sudah tentu akan lebih sukar diterima oleh rakyat Kelantan.

Tambah Dr Kamarul, wakil rakyat PAS menang di Kelantan atas kekuatan platform PAS, bukan atas tarikan Pakatan Rakyat mahupun populariti peribadi calon yang bertanding.

“Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Guchil, Roslan Puteh, menang di atas bantuan PAS, begitu juga dengan Datuk Husam Musa, Datuk Kamarudin Jaffar dan Dr Mohd Hatta Md Ramli yang sukar untuk menang di Kelantan jika mereka tidak bertanding di atas tiket PAS.

“Apatah lagi jika mereka bertanding di atas tiket GHB yang tidak diketahui mempunyai satu dasar perjuangan jelas yang boleh memenuhi selera politik rakyat Kelantan maka lagilah sukar untuk mereka mencapai kemenangan.

“GHB menyebut akan memperjuangkan Islam yang progresif khusus untuk membolehkan idea Islamnya diterima oleh bukan Islam, tetapi idea begini tidak diyakini akan diterima rakyat Kelantan yang rata-ratanya beragama Islam.

“Tambahan pula, GHB sendiri dilihat sangat akrab dengan DAP yang terkenal dengan perjuangan sekularnya kerana sejahil-jahil rakyat Kelantan pun mereka masih terkenal kuat beragama walaupun mereka menerima baik bantuan kebajikan dari mana-mana pihak.

“Begitu juga dengan stigma sebagai pengkhianat parti yang tertanam dalam diri bekas pemimpin PAS yang menjadi pendokong GHB, terutamanya mereka yang bergelar wakil rakyat, yang akan menjadi liabiliti besar bila mereka berhadapan dengan rakyat Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2015

Share on Myspace