Rasionalkah harga petrol Ogos ini?

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

PENETAPAN harga petrol pada setiap bulan memang akan sentiasa mendapat perhatian rakyat. Perubahan walapun sekadar dalam kiraan sen, ia tetap memberikan kesan yang sangat signifikan kepada para pengguna.

Ini kerana terdapat 780,000 buah kenderaan berdiesel dan 18 juta buah kenderaan berpetrol di atas jalan raya di Malaysia. Sejumlah 23 peratus daripada pendapatan isi rumah rakyat Malaysia pula adalah dibelanjakan untuk pengangkutan.

Pada harga runcit petrol sekarang, sekurang-kurangnya golongan berpendapatan rendah membelanjakan RM322.50 dan golongan berpendapatan sederhana membelanjakan RM645.00 sebulan untuk menanggung kos bahan api kenderaan mereka sahaja belum termasuk kos tol dan penyelenggaraan.

Berikut adalah sedikit sorotan isu penentuan harga runcit minyak di negara kita:

(i) 29 September 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa sistem baru rasionalisasi subsidi minyak akan dilaksanakan bermula Januari 2015 bagi diesel dan April 2015 bagi petrol. Sehingga September 2014, RON95 dijual pada harga runcit RM2.10 seliter dan diesel RM2.00 seliter selepas kedua-duanya mengalami kenaikan sebanyak 20 sen bermula September 2013.

(ii) 1 Oktober 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa subsidi minyak dikurangkan sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel berkuatkuasa serta merta bermula 2 Oktober 2014 menjadikan harga runcit bagi kedua-kedua bahan api itu meningkat kepada RM2.30 dan RM2.20 masing-masing untuk bulan Oktober dan November.

(iii) 21 November 2014 – KPDNKK mengumumkan bahawa subsidi untuk RON95 dan diesel akan dihapuskan bermula 1 Disember 2014 dan harga kedua-dua bahan api ini akan ditentukan secara sistem harga apungan terkawal (managed float system) sama seperti yang digunakan untuk menentukan harga runcit RON97 yang telah dihapuskan subsidinya bermula 16 Julai 2010. Sehingga Februari 2015, rakyat berpeluang menikmati harga runcit minyak yang rendah iaitu RM1.70 bagi RON95 dan diesel.

Namun, rakyat hanya dapat mengecapinya hanya buat sementara waktu sahaja. Itupun berikutan kesan kejatuhan harga minyak mentah global. Keupayaan harga minyak mentah global untuk kembali mengukuh adalah positif dalam perkiraan Kerajaan walapun sehingga buat masa ini ia masih belum stabil. Kesempatan inilah subsidi dihapus dan harga runcit minyak pula diapung berdasarkan harga minyak mentah global. Maknanya beban kewangan ini Kerajaan serahkan langsung kepada rakyat untuk ditanggung.

Bermula 1 Mac 2015, RON97, R0N95 dan diesel mula mengalami kenaikan. Jika pada Mac 2015 harga runcit masing-masing ialah RM2.25, RM1.95 dan RM1.95, namun pada Julai 2015 harganya ialah RM2.55, RM2.15 dan RM2.05 iaitu kenaikan sebanyak 55 sen, 45 sen dan 35 sen seliter masing-masing.

Ditambah dengan kenaikan ini lagi ialah pelaksanaan cukai GST bermula April 2015, kenaikan pelbagai kos sara hidup dan nilai mata wang Ringgit yang semakin melemah iaitu kini berada pada paras RM3.81 dan dijangka mencecah RM4.01 bagi setiap USD1 menjelang September ini.

Kesannya, rakyat tidak mempunyai lebihan wang untuk menyimpan, pendapatan boleh guna juga semakin berkurang dan kuasa membeli semakin mengecut justeru inflasi semakin meningkat. Tekanan dan bebanan ini amat dirasai oleh rakyat Malaysia.

Skandal berprofil tinggi melibatkan pemimpin utama negara dan syarikat-syarikat milik Kerajaan sehingga mencetuskan spekulasi pasaran mengeruhkan lagi persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa negara kita.

Dalam keadaan ‘worst case scenario’ sekalipun dengan ramalan Ringgit bernilai RM3.9983 bagi setiap USD1 dan harga minyak mentah dunia pula USD56 setong, sekurang-kurangnya RON95 boleh dijual pada harga runcit RM2.10 seliter dan diesel RM2.00 seliter bagi bulan Ogos ini dan saya percaya sebenarnya ia boleh berharga lebih rendah daripada itu.

Persoalannya ialah kenapa bebanan kos bahan api ini dibebankan sepenuhnya kepada rakyat sedangkan rakyat telah menikmati subsidi sejak puluhan tahun? Adakah kerana "rasionalisasi" sebagaimana bahasa manis yang digunakan oleh Kerajaan atau kerana pendapatan negara terbesar yang bersumber daripada hasil minyak ini telah digunakan pada tempat dan cara yang tidak patut? Rakyat berhak menilainya dengan penuh prasangka. Sama-sama kita nantikan “rasional”kah harga petrol bulan ogos ini? – HARAKAHDAILY 24/7/2015

Share on Myspace