BigBang: Hodoh bila kerajaan ajak rakyat berhibur sakan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah penganjuran konsert 'BigBang 2015 World Tour [MADE] in Malaysia' yang dijadualkan berlangsung esok bermula jam 6.00 petang di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bantahan itu adalah amat patut lebih-lebih lagi apabila pihak penganjur, IME Production dengan bangganya mengumumkan satu konsert tambahan akan diadakan oleh kumpulan BigBang pada hari ini bermula jam 8.30 malam di tempat yang sama.

Katanya, konsert itu juga difahamkan mencatatkan rekod penganjuran yang termahal bagi siri MADE World Tour yang dilaporkan kos penyediaan pentas BigBang sahaja sudah mencecah RM1 juta sementara harga tiket pula dijual pada harga RM288 hingga RM798 mengikut enam kategori berbeza.

"DPPM juga melahirkan kekecewaan kerana konsert ini disokong oleh Malaysia Major Events iaitu merupakan sebuah bahagian di bawah Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC)," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebagai mewakili kerajaan, ujar beliau sewajar dan sepatutnya pihak kementerian mengawal industri hiburan dan mendidik rakyat dengan budaya hiburan yang tidak melalaikan atau merosakkan.

"Sekurang-kurangnya insiden beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium dahi oleh penyanyi K-pop dari kumpulan B1A4 dalam satu konsert yang diadakan pada awal tahun ini dijadikan pengajaran penting supaya ia tidak lagi berulang," ujarnya lagi.

Menurutnya, dalam keadaan negara menghadapi masalah dalam segenap sektor politik, ekonomi dan sosial, maka adalah amat buruk dan hodoh sekali apabila kerajaan mengajak rakyat untuk berhibur sakan.

"Kita pula masih berada dalam bulan Syawal dan penganjuran konsert ini telah mencemarkan kemuliaan bulan ini," katanya. - HARAKAHDAILY 24/7/2015

Share on Myspace