Keputusan pemecatan Iszuree dalam MPPP 9 Sept

BERNAMA | .

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Sept untuk keputusan semakan kehakiman yang difailkan bekas Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim bagi mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung pemecatannya daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pembekuan peruntukannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini selepas bertemu peguam Mohd Haris Abdullah yang mewakili Iszuree dan peguam RSN Rayer yang mewakili Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kerajaan negeri Pulau Pinang serta peguam Dominic Pillai mewakili MPPP kini dikenali Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mohd Haris ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan tarikh itu bagi membolehkan kedua-dua pihak dalam kes itu mengemukakan hujahan tambahan bertulis masing-masing berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata ada beberapa perkara telah dibangkitkan termasuk persoalan mengenai isu Ahli Majlis yang merupakan seseorang yang dilantik dan bukan dipilih yang memerlukan kedua-dua pihak memberikan hujahan tambahan bertulis berhubung perkara itu.

Beliau berkata hujahan bertulis tambahan itu akan diserahkan kepada mahkamah pada Ogos.

Pada 14 Nov tahun lepas, Iszuree yang kini merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden pertama, MBPP sebagai responden kedua dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai responden ketiga.

Beliau memfailkan permohonan itu untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 Sept 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 Sept 2014 yang telah memutuskan Iszuree dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua dan pembekuan semua peruntukannya.

Beliau juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 Sept 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 Sept 2014 yang telah memutuskan bahawa beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua, mesyuarat ad-hoc dan pembekuan peruntukan secara serta merta.

Tuntutan lain yang dibuat ialah sekiranya mahkamah menerima kedua-dua permohonan itu, Iszuree juga memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 Sept dan 29 Sept 2014 sehingga usul substantif didengar.

Beliau juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan oleh mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung dan dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun. - Bernama

Share on Myspace