Gantung permit The Edge langgar kebebasan media

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penggantungan penerbitan The Edge berkaitan laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan hanya menyerang kebebasan media, malah melanggar hak rakyat mendapatkan kebenaran.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata rakyat berhak mengetahui perkara yang menjadi kebimbangan berkaitan skandal 1MDB yang melibatkan penyelewengan berbilion ringgit.

“Saya mengecam keras keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan.

“Pada pandangan saya, mendedahkan skandal nasional melibatkan kecurian besar wang rakyat seharusnya dibenarkan dan wajib bagi mereka yang berkemampuan untuk berbuat demikian seperti media,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata adalah tidak masuk akal untuk mengatakan laporan media itu memudaratkan kepentingan awam dan negara.

Sebaliknya, beliau berkata pihak yang terlibat dengan konspirasi untuk merompak kekayaan negara adalah yang mencemari keharmonian negara.

“Pihak yang tidak bersalah sudah tentu mengalu-alukan pendedahan itu.

“Justeru, semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama mengutuk penggunaan kuasa sewenang-wenangnya oleh kerajaan dan menggesa supaya membatalkan keputusan yang tidak bertanggungjawab dan melulu ini,” katanya.

Share on Myspace