Saya tidak terlibat GHB, insya Allah kekal bersama PAS

HARAKAHDAILY | .

Tidak semena-mena diri dan nama saya jadi perbualan politik tanah air. Selama ini saya mengambil pendekatan untuk low profil apatah lagi menzahirkan pemikiran kritis politik.

Mungkin disebabkan saya masih sedar siapalah saya di kalangan kawan-kawan yang menjadikan platform politik sebagai medan populariti diri ataupun membina pengaruh dan kekayaan.

Ribut politik yang melanda negara seolah-olah memberi impak kepada generasi yang dibina atas kesedaran diri lalu mengikuti marhalah perkaderan dan tarbiyyah tangga demi tangga.

Maka sudah pastinya gaya dan corak pemikiran serta tindakan terhadap sesuatu isu terkait pada diri, memerlukan untuk saya memikirkan kesan atau natijah kemudian hari (hari perhitungan di hadapan Illahi).

Saya telah melalui sejarah kehidupan politik di kala diminta bertanding dalam pilihan raya 2004 (PRU11). Ketika itu, pimpinan negeri tidak pernahpun turun ke bawah mendapatkan maklumat tepat akar umbi.

Apa yang berlaku adalah berkisarkan teori lalu diterjemah melalui pengarahan yang tidak masak. Akibatnya memaksa kami di peringkat PAS Sepang ketika itu bernekad untuk terus turut serta dalam pertandingan tiga penjuru.

Tahun 2008 (PRU12), sekali lagi saya diminta untuk bertanding mewakili PAS di Dun Tanjong Sepat.

Walaupun berat, sebab agak fobia dengan kesan kehidupan selepas pilihan raya 2004 (PRU11), saya ambil tanggungjawab dan risiko untuk kedua kali. Tewas kali kedua mengajar saya tentang erti keupayaan diri.

Maka selepas 2008 (PRU12) saya lebih bersedia untuk berkhidmat untuk parti bukan bermakna saya ingin jadi calon pilihanraya mendatang, tetapi untuk membantu mencipta dan melakar sejarah di Sepang.

Menghadapi pilihan raya 2013 (PRU13) saya telah mengharungi pelbagai dugaan sama ada dari dalaman parti mahupun luaran. Tidak perlulah saya ceritakan semuanya.

Pendekkan cerita, Allah kurniakan sedikit kemenangan kepada kami PAS Sepang bagi mengisi kerusi Dun Tanjung Sepat dan Parlimen Sepang. Semua ini berlaku adalah disebabkan kesungguhan usaha, pengorbanan, keikhlasan ahli-ahli dan keizinan Allah SWT.

Menyedari kepada hakikat kemenangan itu adalah hasil kerja berpasukan dan izin Allah, maka saya ingin tegaskan bahawa provokasi berita di Kosmo keluaran 23 Julai 2015 mengaitkan saya akan menyertai GHB adalah provokasi dan andaian kumpulan yang kecewa.

Saya akui terdapat individu yang cuba menjinakkan saya untuk turut serta dalam kumpulan GHB.

Saya ingin tegaskan, selagi mana PAS kekal dengan prinsip perjuangan yang termaktub dalam perlembagaannya dan dipimpin oleh kepimpinan ulama, insya Allah saya akan kekal dalam perjuangan tarbiyyah, dakwah dan siasah PAS ini. Saya tidak terlibat GHB sebaliknya insya Allah kekal bersama PAS dan kepimpinan sedia ada.

Saya berseru kepada semua yang mengaku sebagai ahli PAS agar terus istiqamah bersama PAS hingga akhir hayat.

Oleh itu, mana-mana individu atau kumpulan yang mengaitkan saya dengan GHB atau menyokong GHB, harap hentikanlah cita-cita dan usaha kalian.

Dalam kesempatan ini saya ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada YB Dr Rani Osman (ADN Meru), YB Dr Halimah Ali (ADN Selat Kelang) dan YB Hanim (ADN Sri Serdang) di atas penegasan mereka untuk terus kekal bersama dan komited memperkukuhkan PAS melaksanakan amanah dan sekaligus menafikan penglibatan mereka bersamai GHB.

Doakan kami untuk terus bersama dalam perjuangan PAS hingga akhir hayat.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

YB IR MOHD HASLIN HASSAN
ADN Tanjong Sepat
9 Syawal 1436H/25 Julai 2015M

HARAKAHDAILY 25/7/2015

Share on Myspace