Doakan agar kita semua istiqamah - Dr Mahfodz

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menyeru semua para pejuang Islam agar senantiasa berdoa supaya ditetapkan di atas jalan kebenaran yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Beliau menyatakan demikian di hadapan ahli dan pendukung PAS di KUIZM dalam Program Hajat dan Munajat Perdana anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, malam ini.

Menurut beliau, keyakinan terhadap perjuangan PAS adalah kerana dasar parti itu adalah jelas iaitu berusaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mengamalkan segala ajaran Al-Quran dan sunnah.

"Itu adalah rahsia kejayaan dan keutuhan PAS sejak ianya ditubuhkan pada tahun 1951 hingga sekarang walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan," ujarnya.

Beliau juga turut melahirkan rasa terkilan kerana masih ada suara daripada kalangan ahli PAS yang mempertikaikan kepimpinan baru parti tanpa berdasarkan asas dan alasan yang kukuh.

Tegasnya, kelebihan PAS kerana memperjuangkan Islam dengan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t dan ia berbeza dengan perjuangan-perjuangan yang berasaskan ideologi-ideologi yang berteraskan ciptaan manusia.

Program tersebut turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan merangkap Bendahari PAS Pusat, Mohamad Noor Mohamad.

Program tersebut diakhiri dengan solat hajat yang dipimpin oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Ali Jamil. - HARAKAHDAILY 25/7/2015

Share on Myspace