PAS tidak halau ahli tinggalkan parti

MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS Selangor menyahut seruan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mahfoz Mohammed agar menganjurkan program solat hajat dan munajat kepada Allah memohon diberikan kesejahteraan kepada PAS dalam menghadapi situasi yang sedang berlaku sekarang.

Program itu berlangsung di Kompleks Darul Thibbun Nabawi, Seksyen 8 di sini malam tadi dengan anggaran kehadiran 300 orang dari kalangan Exco Dewan Ulamak PAS Selangor dan orang ramai memenuhi ruang solat di dataran kompleks.

Program dimulai dengan solat Maghrib berjamaah yang diimami oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Ustaz Rizuan Rahmat.

Usai solat Maghrib, program diteruskan dengan ucapan kepimpinan Dewan Ulamak PAS negeri.

Bermula dengan ucapan aluan oleh Ustaz Zawawi selaku Ketua Urusan Ulamak PAS Shah Alam yang mempertegaskan bahawa pihaknya akan terus mendukung kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS.

Ucapan seterusnya oleh Naib Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Nik Bakri Nik Mat yang menghuraikan perkara yang sangat penting iaitu niat dan aqidah perjuangan.

Beliau mengingatkan para hadirin pentingnya niat dan matlamat perjuangan yang menentukan hala tuju dan gerak kerja dalam PAS.

Ustaz Rizuan pula mengingatkan kepada pimpinan dan ahli PAS bahawa kejayaan dalam perjuangan Islam ialah bagi mencapai keredhaan Allah SWT.

"Walaupun kita mencapai kemenangan besar di dunia namun tanpa keredhaan dan restu Allah, maka ia adala sia-sia," ujarnya.

Ucapan terakhir oleh Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS negeri merangkap Timbalan Ketua Dewan Ulamak Selangor, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang mewakili Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Iskandar A Samad.

Beliau menegaskan bahawa PAS tetap utuh walaupun sebahagian pemimpin dan ahlinya ingin meninggalkan bahtera ini.

Katanya, PAS tidak menghalau ahlinya meninggalkan parti tetapi sedih dengan sikap itu.

Namun, ujar beliau PAS tidak menghalang sekiranya mereka bertekad sedemikian.

"Tetapi diingatkan bahawa mereka jangan cuba merosakkan jamaah ini dan insya Allah PAS akan sentiasa dipelihara oleh Allah SWT," ujarnya.

Program ini dilengkapkan dengan solat Isyak dan hajat berjamaah.

Solat ini dipimpin oleh Ustaz Nik Bakri Nik Mat dan diikuti dengan alunan zikir istighfar dan memuji kebesaran Allah SWT serta doa yang syahdu dan menggegarkan hati para hadirin yang mengaminkan dengan kuat.

Sebahagian para hadirin turut kelihatan menitiskan air mata menghayati doa yang dibacakan oleh Ustaz Nik Bakri apabila menyebut agar PAS dipelihara oleh Allah dan dijauhkan daripada sebarang kejahatan dan kedengkian.

Para pemimpin dan hadirin bersalam-salaman serta sual kenal antara mereka sebelum majlis berakhir pada jam 9.45 malam. - HARAKAHDAILY 26/7/2015

 

Share on Myspace