Cadangan hantar 'mat rempit' ke pondok tidak realistik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Cadangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman untuk menangkap dan menghantar ‘mat rempit’ ke pondok-pondok pengajian agama disifatkan tidak munasabah dan realistik.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS negeri, Dr Alias Razak mempersoalkan bagaimana keputusan untuk membina litar lumba bagi anak-anak muda boleh ditarik balik sedangkan peruntukannya telah dikuluskan dalam persidangan dewan undangan negeri.

Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Bukit Tunggal menggesa Razif menjelaskan kepada rakyat ke manakah perginya peruntukan sebanyak RM30 juta untuk tujuan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis jamuan sempena hari raya, peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, semalam.

“Ia tidak munasabah dan tidak realistik, hanya angan-angan, sekiranya mahu masukkan mat rempit atau mat motor ke pondok. Pondok pun tak berapa ada.

“Kerajaan dah lulus bajet untuk buat litar lumba, kenapa tiba-tiba nak batal,” katanya dipetik Buletin Online.

Beliau juga melahirkan kebimbangan, gejala merempit bukan semakin berkurang, bahkan akan bertambah parah ekoran tindakan Razif itu.

Share on Myspace