Lebuh Raya Rakyat giat dilaksana

SALMAH MAT HUSAIN | .

PASIR MAS: Kerajaan negeri tetap meneruskan pembinaan lebuh raya rakyat sejauh 10 kilometer, biar pun sebahagian pakej lagi diserah kepada kerajaan persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad berkata laluan tersebut bermula dari Kampung Tiu ke Bukit Bakar dan Berangan Mek Nab Machang.

Katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya tersebut sedangkan giat dijalankan kontraktor dilantik kerajaan negeri.

“Kita berharap ia dapat siap mengikut perancangan. Dan sebahagian lagi sejauh 20.5 km pembinaannya diserah kepada kerajaan Persekutuan berdasar kepada persetujuan sebelum ini.

“Pakej diserah kepada pusat bermula dari Kampung Berangan Mek Nab di Machang sehingga ke Dusun Damar di Kuala Krai,” katanya ketika ditemui pada majlis Majlis Hari Raya Aidilfitri Dun Pengkalan Pasir di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, di sini semalam.

Projek lebuh raya rakyat Machang-Kuala Krai sejauh 30.5 km pada awalnya dibina kerajaan negeri selepas kerajaan pusat mengenepikan projek berkenaan sejak 1986.

Projek berkenaan melibatkan kos kira-kira RM854 juta dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2017.

Bagaimanapun selepas kerajaan negeri memulakan projek berkenaan, kerajaan pusat melalui Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri menghantar surat bersetuju membina sepenuhnya projek berkenaan.

Namun kerajaan negeri tetap meneruskan pembinaan sepanjang 10 km memandangkan kerja-kerja sudah dilaksanakan sejak tahun lepas. - HARAKAHDAILY 26/7/2015

Share on Myspace