Tahaluf siyasi, bai'ah: Tahniah PAS buka minda masyarakat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sekarang begitu hangat dibincangkan di alam maya berkait dengan tahaluf siyasi dan bai'ah dengan berbagai-bagai pandangan yang diberikan; ada yang positif dan ada yang negatif.

"Bagi saya apa yang berlaku ini adalah kejayaan PAS melontarkan istilah-istilah Politik Islam sehingga dibincangkan di dalam masyarakat, yang pada satu ketika ianya begitu asing sekali," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, istilah-istilah itu menjadi buah mulut di dalam masyarakat termasuk non-Muslim dan media massa juga memainkan peranan.

"Samalah juga seperti istilah-istilah Ekonomi Islam seperti; mudharabah, murabahah dan lain-lain lagi," ujarnya.

Menurutnya, satu ketika ia begitu asing tetapi sekarang ini dibincangkan di serata pelosok dunia.

Istilah-istilah itu, katanya tidak asing lagi hatta kepada masyarakat bukan Islam sekalipun.

"Saya sarankan wacana terbuka ini diteruskan supaya masyarakat lebih mengetahui berkait dengan Syariah Islam yang menjadi cara hidup kepada manusia.

"Tahniah kepada PAS!" katanya lagi. - HARAKAHDAILY 26/7/2015

Share on Myspace