The Edge digantung, maklumat tidak boleh gantung

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri yang telah menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan mulai 27 Julai dianggap sia-sia sahaja.

"Ia tidak memberi kesan apa-apa di zaman langit terbuka," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, kerajaan hanya boleh sekat melalui akhbar cetak tetapi tidak bermaya untuk menyekat maklumat di alam maya.

"Lebih berkesan kerajaan kena saman akhbar tersebut jika maklumat itu palsu atau fitnah dan bawa ke pengadilan," ujarnya.

Tambahnya, ini satu isu yang besar dan The Edge mesti mempertahankan kredibiliti akhbarnya.

Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi, jika maklumat yang diberi itu fitnah, ia akan memberi kesan kepada laporannya akan datang.

Menurutnya, selama ini ia menjadi rujukan kepada mereka yang terlibat dalam dunia perniagaan.

"Di sinilah perlunya kerajaan Malaysia mesti menunjukkan keberanian dan membuktikan dengan hujah bukan dengan tindakan menggantung akhbar tersebut, sehingga menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat," ujarnya.

Beliau berkata, menjadi sifat manusia memang suka hendak mencari suatu yang orang lain larang.

"Bijakkah kerajaan menggantung The Edge?

"Dunia sedang memerhati negaraku Malaysia. Jangan korbankan masa depan rakyat," katanya. - HARAKAHDAILY 27/7/2015

Share on Myspace