TPPA: Kerajaan mesti dedah substantif perjanjian segera

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kemungkinan akan termeterai pra Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dalam kalangan negara-negara anggota menjelang hujung bulan ini di Hawaii sangat mengundang keresahan semua pihak termasuk PAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, difahamkan minggu ini adalah fasa terakhir rundingan dan teks perjanjian tersebut akan dimuktamadkan sebelum 31 Julai ini.

Katanya, walaupun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan keputusan penyertaan negara dalam TPPA akan diputuskan menerusi Parlimen, namun ia dijangka akan diputuskan secara tergesa-gesa dalam satu hari walhal rundingan di peringkat nasional telah dilakukan lebih 100 kali.

"Kita juga sangat kesal kerana kerajaan masih berahsia dengan substantif Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

"Kita bimbang terdapat 9 bab dalam perjanjian tersebut yang diklasifikasikan sebagai rumit dan ia sudah tentu sangat mustahak," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, ujarnya bukan hanya soal kepentingan ekonomi, malah ia turut melibatkan kedaulatan dan masa depan negara.

Menurutnya lagi, sembilan bab tersebut dikatakan mengenai kewangan dan pelaburan, perundangan, pemilikan harta dan perusahaan awam.

Oleh itu, tegasnya PAS mencabar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri supaya mendedahkan substantif perjanjian tersebut sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat, sekurang-kurangnya kepada semua ahli-ahli parlimen.

Katanya lagi, pendedahan tersebut adalah tanggungjawab kerajaan terhadap negara juga rakyat dan diharap dapat memberi peluang kepada rakyat atau wakil mereka ke parlimen untuk menilai dengan teliti, memberi input dan terlibat dalam proses membuat keputusan penting untuk kepentingan negara.

"Kami meminta hak kebebasan untuk mendapatkan maklumat kerana ia melibatkan kepentingan rakyat," ujarnya yang jga Ahli Parlimen Temerloh. - HARAKAHDAILY 27/7/2015

Share on Myspace