Tukar Pengerusi Mara, rakyat wajib tahu hasil siasatan

HARAKAHDAILY | .

Rakyat masih lagi tertanya-tanya berhubung skandal pembeliah hartanah milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Melbourne, Australia yang dikatakan telah membayar RM13.7 juta lebih tinggi dari harga pasaran yang sebenar.

Pembelian tersebut didakwa oleh akhbar Australia, The Age melibatkan kos keseluruhan RM65 juta untuk sebuah blok apartmen di Melbourne.

Sekalipun bekas Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa mendakwa bahawa pembelian tersebut berlaku sebelum beliau dilantik sebagai pengerusi, namun ia bukannya satu jawapan terhadap tanda tanya yang sedang menjadi persoalan di kalangan rakyat.

Nyata sekali, kerajaan Umno Barisan Nasional tidak pernah serius di dalam mengendalikan perbelanjaan wang milik rakyat sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan yang melibatkan jutaan ringgit.

Terbaru apabila Tan Sri Annuar Musa tidak disambung perkhidmatan sebagai Pengerusi Mara walaupun baru dua tahun memegang jawatan tersebut, rakyat semakin melihat bahawa ada sesuatu yang disembunyikan oleh kerajaan.

Sekalipun Annuar bukanlah individu pertama yang memegang jawatan tersebut untuk tempoh dua tahun namun ia agak janggal jika dibandingkan dengan dua penyandang jawatan tersebut sebelum ini.

Untuk rekod, bekas Pengerusi Mara sebelum Annuar, Datuk Seri Idris Jusoh memegang jawatan tersebut selama 5 tahun bermula 2008-2013 manakala sebelumnya Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin pula selama 4 tahun bermula 2004-2008.

Justeru, menamatkan khidmat Annuar Musa yang hanya diberikan kepercayaan selama dua tahun sahaja seolah-olah mengesahkan tanggapan rakyat bahawa terdapat kelemahan yang ketara di dalam pengurusan kewangan Mara dan proses jual beli hartanah sebelum ini.

Rakyat sedang menanti-nanti jawapan terhadap isu ini. Penjenayah sebenar wajib dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang pengecualian. Tiada maaf kepada mana-mana pihak yang memperalatkan amanah rakyat demi kepentingan poket peribadi. - HARAKAHDAILY 27/7/2015

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
27 Julai 2015

Share on Myspace