Pembalakan ancam eko pelancongan Taman Negara

NOOR SHAMSIAH MOHAMED | .

JERANTUT: Kegiatan pembalakan yang agresif di Hutan Ulu Tembeling sejak tiga tahun lepas mengancam eko pelancongan Kuala Tahan khususnya Sungai Pengau dan Sungai Lau yang menjadi habitat pelbagai jenis ikan sungai.

Walaupun kegiatan pembalakan berhampiran Taman Negara itu difahamkan mempunyai lesen yang sah, namun ia telah menyebabkan sungai yang selama ini turut menjadi punca bekalan air bersih negeri Pahang tercemar teruk.

Warna air yang dahulunya jernih dan dalam, kini bertukar menjadi keruh seperti 'teh o' dan cetek sehingga kelibat ikan yang menghuni sungai berkenaan dan menjadi tarikan pelancong tidak lagi kelihatan.

Pembalakan di kawasan hutan yang kaya dengan kayu kayan bernilai tinggi dari jenis tualang, meranti, merbau dan keruing juga dikhuatiri mengganggu pelbagai hidupan liar seperti gajah dan burung enggang yang selama ini menghuni hutan berkenaan.

Tinjauan Bernama bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) hari ini mendapati tompokan najis gajah ditemui hampir di sepanjang jalan pengeluaran balak - jelas membuktikan hidupan berkenaan terganggu akibat sikap rakus manusia yang menceroboh habitat mereka.

Tinjauan juga mendapati beberapa kawasan di hutan itu telah 'dibersihkan' dipercayai untuk dijadikan tempat melonggok balak oleh sebuah syarikat kontraktor yang beralamat di Kuala Lumpur.

Lesen pembalakan itu dikeluarkan pada 15 Jun lepas untuk tempoh hingga 15 Mei tahun depan melibatkan kawasan seluas 216.5 hektar di hutan tersebut.

Pengerusi PEKA Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menggesa kegiatan pembalakan itu dihentikan segera kerana dikhuatiri akan memberi kesan yang lebih serius terhadap kestabilan ekosistem di kawasan itu.

"Kita lihat sungai-sungai di kawasan ini sudah tercemar, air menjadi cetek dan keadaan ini akan memberikan kesan yang lebih teruk lagi terutama apabila menjelang musim tengkujuh.

"Ini kerana hutan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air semakin berkurang dan kita lihat pembalakan ini lebih banyak membawa keburukan daripada keuntungan," katanya di sini.

Sehubungan, itu beliau menggesa kerajaan negeri supaya turun padang melihat sendiri keadaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau khuatir pembalakan itu juga akan menjejas eko pelancongan di kawasan Taman Negara yang selama ini menjadi tumpuan pelancong dari luar negara.

Shariffa Sabrina berkata, PEKA merancang mengadakan persidangan Taman Negara dengan menjemput semua pihak yang berkenaan termasuk agensi pelancongan, kerajaan negeri dan penduduk setempat bagi membincangkan tentang masalah itu. - Bernama

 

Share on Myspace