Kesalahan The Edge dari sudut kewartawanan

OOI HENG | .

Tanggal 29 September 2002, akhbar harian berbahasa Cina Oriental Daily telah menerbitkan buat pertama kali dalam percubaannya menembusi pasaran akhbar berbahasa Cina di Semenanjung Malaysia.

Setelah disiapkan kerja-kerja penerbitan, pencetakan dan pengedaran buat kali pertama pada hari Ahad tersebut, pihak pengurusan atasan Oriental Daily telah menerima panggilan telefon daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekitar jam 1 petang, yang memaklumkan bahawa penerbitan Oriental Daily harus diberhentikan.

Kemudian, sekitar jam 7 petang, pihak pengurusan atasan Oriental Daily sekali lagi menerima panggilan telefon yang memaklumkan bahawa permit penerbitannya telah digantung.

Lembaran sejarah ini telah meletakkan Oriental Daily sebagai akhbar yang mempunyai sejarah penerbitan paling pendek di Malaysia, yakni satu hari sahaja. Hanya selepas 96 hari, Oriental Daily yang berada di pasaran hari ini diterbitkan semula pada 1 Januari 2003.

Tanggal 27 Julai 2015, penggantungan The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly mula berkuasa selama tiga bulan. Semoga kedua-dua akhbar harian dan akhbar mingguan The Edge yang berkualiti dapat diterbitkan semula selepas tempoh tiga bulan nanti.

Berlatarbelakangkan fakta di atas, artikel ini ditulis untuk meletakkan perbincangan penggantungan The Edge dalam perspektif kewartawanan dan mengajukan persoalan yang relevan kepada pihak pihak yang berkaitan.

Dalam dunia kewartawanan, penerbitan akhbar mengandungi empat kategori utama berkaitan berita.

Pertama sekali adalah penulisan dan pelaporan berita yang menjadi asas kepada semua penerbitan akhbar. Pemberitaan asas yang dimaksudkan di sini lazimnya berpandukan 5W1H dan menitikberatkan fakta.

Kedua adalah penulisan berbentuk rencana atau feature yang menjadi tambahan kepada pemberitaan dan bercorakkan sesuatu naratif penulisan mengikut keperluan topik dan keupayaan wartawan.

Ketiga adalah penulisan berbentuk komentar merangkumi kolum sidang pengarang atau editorial, kolumnis jemputan, kolum wartawan, sudut pembaca dan seumpamanya. Penulisan berbentuk komentar ini yang membentuk perspektif berkenaan sesuatu isu dan merancakkan perbincangan ruang awam atau public sphere.

Keempat adalah pemberitaan bersifat penyiasatan atau investigative reporting yang menelan masa, perbelanjaan dan sumber lain yang lebih besar berbanding pemberitaan asas. Pemberitaan bersifat penyiasatan jarang-jarang sekali dilakukan kerana pemberitaan seumpama melibatkan kos dan risiko politik yang lebih besar.

Apakah kesalahan The Edge sehingga akhbar harian dan mingguan kepunyaannya yang begitu berkualiti dan mempunyai kredibiliti digantungkan penerbitannya?

Persoalan ini dapat dijawab menurut logik kewartawanan dengan mengolah semula pertanyaan kita dengan ayat yang berbunyi seperti berikut:

Apakah sifat kewartawanan yang ditonjolkan oleh akhbar dan mingguan kepunyaan The Edge yang begitu berkualiti dan mempunyai kredibiliti sehingga penerbitannya digantung?

Jawapannya ialah, The Edge telah melakukan pemberitaan bersifat penyiasatan yang jarang-jarang sekali dilakukan oleh akhbar harian lain di Malaysia. Kebanyakan tuan punya akhbar harian yang kaya-raya enggan memperuntukkan perbelanjaan dalam pemberitaan bersifat penyiasatan kerana mereka tahu benar impak pemberitaan seumpama boleh jadi sangat besar dan seterusnya melibatkan risiko politik yang besar.

Lazimnya, impak pemberitaan bersifat penyiasatan menyumbang kepada hak menerima maklumat warganegara secara meluas dan mengangkat peranan media dalam menyemak tadbir urus sesebuah rejim pemerintah sehingga merencakkan demokrasi sesebuah negara dan membawa pembangunan negara ke arah negara maju.

Rakyat yang hidup dalam negara yang mempunyai media seumpama berpeluang menikmati kehidupan berdemokrasi yang berkualiti dan merasa bangga sebagai warga negara seumpama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang cuba meletakkan dirinya sebagai bapa transformasi telah mengumumkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) pada sidang Parlimen yang lepas. RMK11 merupakan rancangan terakhir dalam membawa pembangunan Malaysia ke arah negara maju berimpiankan Wawasan 2020.

Masih ingatkah rejim pemerintah bernama Barisan Nasional (BN) bahawa janji Perdana Menteri Najib dan BN termasuk membawa transformasi politik, ekonomi, sosial dan pemerintahan kepada segenap lapisan masyarakat dan rakyat Malaysia?

Tahukah menteri-menteri kabinet BN dan ahli-ahli parlimen bahawa media yang mengangkat peranan menyemak tadbir urus negara seperti The Edge dan Sarawak Report merupakan elemen penting dalam transformasi negara ke arah negara maju yang dapat membanggakan rakyat Malaysia.

Sejarah reformasi tanah air kita telah membuahkan hasil. Kerana itu rejim pemerintah berbicara mengenai transformasi berasaskan tuntutan-tuntutan semenjak gerakan reformasi. Tetapi rejim pemerintah hari ini berhenti setakat perbicaraan.

Membaca laporan pemberitaan bersifat penyiasatan yang jarang-jarang sekali disajikan dalam dunia kewartawanan Malaysia, kami bangga apabila warga negara lain menanyakan apa kesalahan yang dilakukan oleh The Edge dan Sarawak Report sehingga mereka digantung dan dihalang aksesnya.

Kerana pertanyaan tersebut membawa kepada peluang kami menjelaskan bagaimana bangkitnya akhbar di Malaysia yang berani memainkan peranan dalam proses membawa pembangunan Malaysia ke arah negara maju dalam konteks sejarah tuntutan reformasi tanah air kita sendiri.

Akhbar lain yang masih berpuas hati dengan pemberitaan asas sahaja dan berkomplot dengan rejim yang menyeleweng, masa telah tiba untuk anda melakukan perubahan. Jika tidak, tuntutan perubahan dan pembaharuan rakyat akan menenggelamkan anda sekali pada masa yang akan datang.

Tuntutan rakyat hari ini bukan sekadar mengenai pengunduran seorang individu, tetapi penolakan sebuah rejim dan pemikiran yang mengekang media dan menekan segala usaha wartawan yang bermaruah dan mahukan pendemokrasian media. - HARAKAHDAILY 27/7/2015

Penulis ialah Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Share on Myspace