Gantung The Edge konspirasi untuk tekan Najib

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung kedua-dua akhbar mingguan dan harian milik The Edge menimbulkan spekulasi bahawa ia adalah satu konspirasi politik dalaman pimpinan Umno itu sendiri yang sudah tidak mampu untuk mempertahankan  dan melindungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian tegas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, penggantungan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dilihat memberi kesan kepada  pemikiran rakyat untuk mempercayai laporan akhbar tersebut dalam isu 1MDB yang membabitkan Perdana Menteri.

"Penggantungan ini juga dibuat bertujuan memberi tekanan kepada Najib untuk berundur dari jawatan Perdana Menteri.

"KDN digunakan untuk tujuan tersebut kerana di kalangan pimpinan umno dan BN sudah tidak mampu mempertahan dan melindungi Najib apabila majorati rakyat Malaysia mempercayai Najib sesungguhnya terlibat," katanya dalam satu kenyataan.

Bahkan katanya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, ramai di kalangan pimpinan Umno BN tidak berani berterus terang dengan Najib kerana sebelum ini mereka begitu kuat mempertahankan beliau.

"Lalu tindakan yang boleh dilakukan ialah memberi tekanan dengan pengantungan akhbar ini dan menimbulkan kemarahan rakyat kepada Najib.

"Dengan tekanan ini sama ada Najib akan tunduk atau tidak, ia bergantung kepada sejauhmana pula Pasukan Khas Siasatan Kes 1MDB mampu membebaskan diri mereka daripada sebarang pengaruh Najib,"tegasnya.

Tegasnya, jika mereka mampu dibeli oleh Najib maka Najib mampu bertahan untuk satu tempoh yang singkat tetapi Pasukan Penyiasat ini akan hadapi kutukan rakyat Malaysia dan akan menyebabkan institusi yang mereka ketuai akan mengalami krisis kepercayaan yang akan meruntuhkan negara Malaysia yang dicintai. – HARAKAHDAILY 27 /7/2015

Share on Myspace