Dakwaan DHPP Perak lumpuh tidak benar

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

TELUK INTAN: Ura-ura yang mengatakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di seluruh negeri Perak terbubar adalah tidak benar.

Dalam Majlis Dialog bersama pimpinan Harapan Baru di Hotel Symphiny Suites, Ipoh semalam, Pengerusi DHPP Perak, S Nelli Raja menyatakan semua Ahli Jawatankuasa DHPP Perak peringkat negeri dan kawasan berhenti dan meletak jawatan daripada terus menyokong parti itu.

Namun begitu, Naib Pengerusi DHPP Pusat, S Surianarayanan hari ini menyanggah dakwaan tersebut sebaliknya ia hanyalah sandiwara semata mata.

Kata beliau, hanya beberapa individu sahaja yang bertindak meletakkan jawatan daripada memegang apa-apa jawatan dalam DHPP seterusnya membuat keputusan menyokong Gerakan Harapan Baru (GHB).

Menurutnya, hasil daripada maklumatnya, hanya tiga Pengerusi DHPP kawasan sahaja yang bertindak meletakkan jawatan namun ahli-ahlinya tidak berbuat demikian.

"Dakwaan itu hanya drama dan sandiwara, hanya orang-orang tertentu sahaja yang berbuat demikian (meletakkan jawatan).

"Beberapa pengerusi di peringkat kawasan sahaja yang dikenalpasti telah keluar iaitu Tanjung Malim, Bagan Serai dan Taiping namun ahli dibawahnya tidak keluar," katanya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan Teluk Intan, disini, hari ini.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria; Timbalannya, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim; Ahli Jawatankuasa PAS Perak, Ustaz Wan Tarmizi; Yang Dipertua PAS Kawasan Tanjung Malim, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman dan Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik.

Turut hadir menyatakan sokongan ialah Pengerusi DHPP Tapah merangkap Pengarah Pilihanraya DHPP Pusat, Appalasamy a/l Jetakiah dan sebilangan ahli dewan itu.

Pengerusi DHPP Teluk Intan itu menjelaskan, 15 pengerusi di peringkat kawasan yang lain masih kekal dan tidak berlaku sebarang peletakan jawatan mahupun keluar daripada parti.

Sementara itu, Razman Zakaria berkata, Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri yang dipengerusikan olehnya akan mengadakan mesyuarat esok bagi melantik dan mengisi kekosongan jawatan yang ada.

Menurutnya, beliau masih belum menerima sebarang surat perletakan jawatan secara rasmi daripada individu-individu tersebut. – HARAKAHDAILY 27/7/2015

Share on Myspace