Al-Aqsa: Malaysia perlu tegas, desak OIC campur tangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan pihak keselamatan Israel yang menggunakan kekerasan dan keganasan sehingga mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan Masjid al-Aqsa dan mencederakan 17 orang Islam ketika meleraikan ketegangan yang berlaku antara orang-orang Islam dan penganut Yahudi.

Timbalan Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata sedangkan, insiden ketegangan itu berlaku berpunca daripada tindakan 120 orang penganut Yahudi diketuai oleh Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel yang cuba menceroboh Masjid al-Aqsa sempena Tisha B'Av iaitu hari berkabung tahunan dalam agama Yahudi bagi memperingati kemusnahan rumah ibadat purba mereka yang disambut pada 26 Julai setiap tahun.

Katanya, DPPM melihat tindakan tersebut adalah suatu bentuk provokasi yang sengaja dicetuskan oleh Israel bagi menimbulkan ketegangan agama di kota suci itu.

Menurutnya, akhbar dan portal berita Israel sejak kelmarin membuat liputan berkenaan insiden itu telah mula mencanangkan bahawa ia berpunca daripada rusuhan yang dibuat oleh umat Islam.

"DPPM percaya ia dilakukan bagi membuka laluan kepada tindakan ketenteraan selepas daripada ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, DPPM menyatakan sokongan padu di atas keteguhan pejuang Hamas dan rakyat Palestin dalam mempertahankan kemuliaan dan kesucian Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin.

DPPM juga, ujarnya menyeru negara-negara Islam di seluruh dunia untuk membantu perjuangan Hamas dan rakyat Palestin.

"DPPM menuntut Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian tegas dan mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menyelesaikan isu ini," katanya lagi. - HARAKAH DAILY 28/7/2015

Share on Myspace