TPPA: Jangan gadai nasib bumiputera

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak kerajaan agar jangan menggadai nasib bumiputera dengan menandatangani Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) yang bakal dimuktamadkan 31 Julai ini.

Dengan tamatnya mesyuarat ketua-ketua perunding kelmarin 27 hb Julai dan bermulanya mesyuarat Menteri Perdagangan di Hawai antara 28-31hb Julai, jika kerajaan Malaysia menandatanganinya, ia bakal mendedahkan negara kepada suatu musibah besar yang akan mengorbankan bukan sahaja kedaulatan negara malah menghapuskan hak keistimewaan bumiputera yang selama ini dipertahankan.

Kami telah lama berpandangan bahawa TPPA akan memberi kesan yang sangat negatif kepada kepentingan negara dan kaum bumiputera kerana kajian manfaat kos yang dilakukan oleh pelbagai pihak seperti Third World Network dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang jelas menunjukkan antara keuntungan dan mudharat dari perjanjian itu, mudaratnya jauh lebih banyak.

Segala isu yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak yang membantah penyertaan Malaysia dalam TPPA nampaknya akan diketepikan dan teks perjanjian itu akan terus dimuktamatkan dan ditandatangani pada Oktober atau Novermber 2015 ini.

Kami berpendapat ini adalah peluang terakhir bagi kerajaan Malaysia semada akan bersama dengan TPPA atau tidak.

Jika kerajaan benar memberi keutamaan kepada rakyat hanya satu pilihan sahaja, tidak menandatangani dan menarik diri dari TPPA.

TPPA adalah perjanjian yang mengikat secara undang-undang. Sebarang khilaf yang pasti akan tercetus sepanjang perjanjian ini dikuatkuasakan selepas ditandatangani oleh kerjaan Malaysia akan memberi implikasi yang sangat parah,” kata beliau lagi.

Pihak Amerika Syarikat adalah negara yang bakal meraih keuntungan paling besar dan ia mampu menekankan negara seperti Malaysia untuk tunduk kepada semua terma dan syarat perjanjian tersebut.

Apa yang AS tidak boleh capai melalui politik, akan dIperolehnya melalui perjanjian perdagangan seperti TPPA. Dengan autoriti yang berjaya diperoleh Presiden AS dari Kongres, pengundian "ya" atau "tidak" tanpa mengubah teks perjanjian boleh memberi pentadbiran Obama kuasa untuk melulus semua klausa perjanjian  itu dengan lebih pantas .

Hal ini bermakna AS berkemungkinan besar mahu menekankan semua negara yang berunding supaya meluluskan perjanjian itu dengan cepat di Hawai nanti.

Kami tidak boleh menerima bagaimana sebuah perundingan yang akan memberi kesan besar kepada pelbagai aspek kehidupan rakyat negara ini maseh mahu diteruskan oleh kerajaan sedangkan manfaat yang sering diwar-warkan belum pasti diperolehi.

Yang jelas kesan kepada kenaikan kos kesihatan , hak mengawal industri tembakau , kos mendapat maklumat , penghapusan duti import adalah antara kesan buruk yang bakal dihadapi jika TPPA ditandatangani.

Tidak cukup dengan itu , TPPA bakal menjejaskan nasib petani yang terpaksa membayar benih yang mahal akibat negara perlu menandatangani lagi perjanjian lain seperti UPOV 1991 yang mengawal petani dari menyimpan benih sendiri.

Apa manfaatnya TPPA jika syarikat luar diberi kuasa mengheret Malaysia ke mahkamah antarabangsa dan menuntut berbilion ringgit hanya kerana undang-undang yang bakal digubal oleh Malaysia sendiri boleh menjejaskan keuntungan syarikat tersebut dimasa mendatang? Dimana kedaulatan negara jika menggubal undang-undang untuk menjaga kepentingan rakyat sendiri dihadkan oleh TPPA?

Lebih barat lagi kerajaan Malaysia tidak dibenarkan mengawal dana keluar dan masuk kerana klausa dalam TPPA boleh menyebabkan negara diheret ke tribunal perdangangan antarabangsa jika peraturan mengawal dana dikuatkuasakan.

Hak keistimewaan bumiputera dan segala skim yang dilihat memihak hanya kepada syarikat bumiputera akan dilihat bertentangan dengan TPPA dan dengan itu terdedah kepada tindakan syarikat pelabur dari luar untuk mengheret Malaysia ke tribunal antarabangsa.

Dimanakah pembelaan kepada syarikat tempatan terutama syarikat bumiputera yang selama ini dicanang oleh kerajaan sebagai hak yang akan dilindungi dan terjamin , jika TPPA boleh membatalkan semua hak keistimewaan ini.

Kami menegaskan jika kerajaan terus menandatangani TPPA , kedudukan bumiputera akan menjadi mangsa paling awal kepada rempuhan syarikat luar untuk menguasai pasaran tanpa mensyaratkan mereka perlu patuh kepada hak keistimewaan syarikat bumiputera tempatan .

Bukan sahaja ini menggadai kedaulatan negara akan tetapi menyerah semula negara kepada penjajahan kuasa luar untuk menentukan nasib rakyat di negara ini.

Dari penguasaan perdagangan kepada penguasaan budaya dan akhirnya kepada penguasaan politik . Inilah akibat yang perlu difaham oleh pemimpin negara dan rakyat betapa TPPA boleh mengulangi penjajahan , tetapi kali ini penjajahan yang lebih sempurna.

Kami menuntut kerajaan Malaysia keluar dari rundingan itu walaupun sudah diperingkat perundingan terakhir. Jangan memperjudikan masa depan rakyat dan negara hanya kerana malu untuk mengistihar keluar dari TPPA sebelum terlambat. – HARAKAHDAILY 28/7/2015

Penulis ialah Presiden MAPIM

Share on Myspace