PM bukan hak mutlak Presiden Umno

| .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan hak bagi jawatan Perdana Menteri bukanlah hak mutlak Presiden Umno kerana ia bergantung kepada pilihan rakyat menerusi sistem demokrasi pilihan raya yang diamalkan dalam pemerintahan negara.

Merujuk kepada kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Abim Amidi Abd Manan melahirkan rasa kesal apabila kenyataan tersebut menyamakan Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Presiden Umno.

"Perkara ini sewajarnya tidak berlaku kerana ia jelas mencabuli etika dan profesionalisme kakitangan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kenyataan akhbar tersebut jelas bertentangan dengan tataetika perkhidmatan awam seperti mana yang dipertegaskan dalam perenggan 3 dan 4 pekeliling yang diedarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 30 Jun 2011.

Tambahnya, pekeliling tersebut dengan jelas bertujuan untuk mempertahankan prinsip 'neutrality' dan 'impartiality' perkhidmatan awam terhadap mana-mana pihak, kumpulan termasuk gerakan, fahaman dan parti.

"Kegagalan membezakan antara parti dan kerajaan mendorong kepada pelbagai kesalahan dan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan.

"Tidak mustahil jika satu kenyataan akhbar yang sepatutnya mewakili Perdana Menteri pun tidak boleh dibezakan apatah lagi dengan kemudahan lain termasuklah kewangan," kata beliau.

Justeru tegas beliau, jika maksud kenyataan akhbar tersebut adalah untuk memelihara keyakinan orang awam jelas ia tidak mencapai maksudnya.

"Ia semakin memualkan dan semakin menghakis keyakinan orang ramai terhadap tatakelola dan profesionalisme kerajaan dalam menguruskan hal ehwal rakyat. Kejengkelan rakyat terus membuak-buak melihat kelemahan tata urus terutamanya tatkala membicarakan skandal 1MDB," katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan kepada anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengelak membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kepimpinan negara serta kerajaan berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga hasil siasatan ke atas syarikat berkenaan selesai dijalankan oleh pihak berwajib.

Kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri ini dikeluarkan sehari selepas Muhyiddin sekali lagi menyentuh tentang isu 1MDB ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad.

Muhyiddin dalan ucapannya menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak harus bertanggungjawab menjelaskan kepada umum isu yang melanda 1MDB. - HARAKAHDAILY 28/7/2015

Share on Myspace