Rombak kabinet: Najib pilih Zahid ganti Muhyiddin?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pergeseran dalaman Umno semakin sampai ke kemuncaknya. Yang terbaharu ialah desas-desus akan berlakunya rombakan kabinet yang membabitkan beberapa jawatan utama.

Perkara ini turut mendapat perhatian ramai pihak termasuk penganalisis politik Shahbudin Husin.

Berikut petikan tulisan beliau dalam blognya.

Susulan ucapan Muhyiddin Yassin di mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras Ahad lalu yang menyentuh banyak perkara mengenai Perdana Menteri dan 1MDB, ia kini merebak pula kepada usaha menekan kedudukan Timbalan Perdana Menteri itu.

Bertitik tolak daripada semua perkembangan itu, Najib Razak juga dikatakan akan mengadakan rombakan kabinetnya dalam sehari dua ini bagi memastikan kedudukannya tidak lagi mudah diganggu-gugat, khususnya oleh Muhyiddin.

Selain beberapa menteri dikhabarkan akan digugurkan, kedudukan Muhyiddin adalah sasaran utama dalam rombakan ini. Menteri lain yang disebut-sebut turut digugurkan ialah Shafie Apdal yang dianggap tidak lagi setia kepada Najib sejak kebelakangan ini manakala Hasan Malek, Shahidan Kassim dan beberapa yang lain akan diketepikan kerana prestasi dan lebih menjadi cemuhan masyarakat.

Ada yang mengatakan beliau akan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan digantikan dengan Ahmad Zahid Hamidi, manakala yang lain pula percaya, tiada kementerian khusus atau hanya kementerian tidak penting saja akan diberikan kepada Muhyiddin kali ini.

Najib dikatakan perlu mengambil langkah segera menyekat kemaraan langkah Muhyiddin, selain sudah cukup "berasa hati" dengan gelagat timbalannya itu selama ini. Ada yang melaporkan, di majlis jamuan Hari Raya anjuran CIMB malam tadi, kedua-duanya kelihatan tidak lagi mesra sepertimana selalu.

Cuma, adakah Najib benar-benar berani menyingkirkan atau mengurangkan kuasa timbalannya itu sedangkan beliau sendiri sedang tersepit dengan undang-undang yang sedang memburunya?

Adakah Ahmad Zahid Hamidi pula benar-benar pilihan yang berwibawa untuk mengambil alih tempat Muhyiddin dan mampu menciptakan keputusan lebih baik dalam pilihanraya akan datang?

Yang lebih sadis, bagaimana jika  setelah rombakan kabinet dilakukan, tiba-tiba pasukan petugas khas nanti mendapati pengaliran wang RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib itu benar-benar wujud? – HARAKAHDAILY 28/7/2015

Share on Myspace