TPM: Zahid Hamidi ganti Muhyiddin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau membuat pengumuman itu pada sidang media khas berhubung rombakan Kabinet di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1, sebentar tadi.

Katanya, beliau bersikap terbuka dalam menerima kritikan namun sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka.

Muhyiddin juga digugurkan daripada Menteri Pendidikan.

Menteri lain yang digugurkan ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Tiga timbalan menteri yang dinaikkan sebagai menteri ialah Datuk Hamzah Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan).

Dua muka baharu pula ialah Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia) sementara dua bekas menteri yang dilantik semula ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II). - HARAKAHDAILY 28/7/2015

Share on Myspace