Kelantan bela nasib masyarakat Orang Asal

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asal di Kelantan terus mendapat pembelaan kerajaan negeri apabila 30 daripada mereka di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kuala Betis menerima geran hak milik tanah semalam.

Selain itu penduduk Melayu di penempatan itu juga menerima geran hak milik lot kediaman selepas menduduki kawasan terbabit sejak 1972.

Mereka menerima geran hak milik daripada Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob sempena program sambutan Jubli Perak dasar Membangun Bersama Islam (MBI) zon selatan di padang Pusat Sivik.

Pada 2010 kerajaan Kelantan mewartakan seluas 606.6 ekar di Pos Jedip sebagai penempatan tersusun Orang Asal.

Usaha itu merupakan yang pertama di Malaysia apabila sebuah kerajaan negeri mewartakan kawasan khas bagi masyarakat terbabit.

Kelantan juga menyediakan kawasan seluas 157 ekar sebagai pusat latihan belia Orang Asal dalam bidang pertanian dan kawasan kediaman.

Ustaz Ahmad berkata kerajaan negeri sentiasa membela nasib masyarakat Orang Asal bagi memastikan mereka tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Katanya masyarakat terbabit tidak perlu membayar premium tanah bagi melayak mendapat geran hak milik tanah terbabit.

“Kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Tok Kenali menyediakan peruntukan khas bagi membayar premium tanah bagi pihak mereka.

“Ini jelas menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri membela nasib masyarakat Orang Asal biar pun mereka tinggal jauh di pedalaman,” katanya selepas program berkenaan.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Datuk Nassuruddin Daud, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian, Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof.

Sebelum itu Menteri Besar menunaikan solat hajat dan pecah tanah pembinaan Masjid Buluh di tapak projek Bandar Utama Gua Musang.

Sementara itu Luwi Anak Siam, 51 dari RPT Kuala Betis berkata masyarakat Orang Asal di Kelantan tidak pernah dipinggirkan kerajaan negeri.

Katanya, sehingga sekarang belum kedengaran lagi ada penduduk Orang Asal di negeri lain mendapat geran hak milik tanah seperti di Kelantan.

“Kami merakam ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negeri kerana terus membela nasib kami. Ini sesuatu yang cukup besar makna kepada kehidupan kami,” katanya.

Penyelia Dun Nenggiri, Syed Azhar Syed Alwi berkata, penduduk Orang Asal dan Melayu di RPS Kuala Betis tidak perlu membayar premium tanah berjumlah RM75,000 kerana disumbang Tabung Amanah Tok Kenali.

Kata beliau sepatutnya setiap penduduk terbabit perlu membayar premium tanah sebanyak RM1,250 sebagai proses mendapat geran hak milik.

“Namun Tabung Amanah Tok Kenali membayar premium tersebut bagi pihak mereka. Usaha untuk mendapatkan geran hak milik dimulakan sejak 2013,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2015

Share on Myspace