KLIA2 bermasalah, kerajaan usah gadai nyawa rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Kerajaan Malaysia bertindak segera menyelesaikan masalah mendapan akibat takungan di terminal KLIA2.

"Masalah ini sudah berlarutan sekian lama sejak ia mula dibuka pada tahun lepas sehingga kini masih belum mempunyai penyelesaian yang konkrit," kata Naib Ketua DPPM, Khairil Nizam Khirudin.

Katanya, laporan media antarabangsa, Bloomberg di dalam portal beritanya yang bertajuk “Kuala Lumpur’s $1 Billion Terminal Is Sinking, Airline Says” tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.

Pada penghujung tahun 2014, ujarnya Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan nama lima anggota panel Jawatankuasa Audit Bebas KLIA2 yang diketuai oleh Datuk Dr Chuah Hean Teik.

Menurutnya, mereka diberikan tugasan untuk memastikan KLIA2 mematuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan dan mengkaji semua aspek termasuk isu mendapan di apron KLIA2.

Kini, ujar beliau tempoh masa 6 bulan yang diberikan sudah pun tamat.

"Bilakah pihak kerajaan akan menunaikan janji untuk mengumumkan laporan Jawatankuasa Audit Bebas KLIA2 tersebut kepada rakyat dan tindakan susulan yang perlu diambil?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, DPPM mengingatkan kerajaan agar memandang serius berkenaan aspek keselamatan di lapangan terbang ini lebih-lebih lagi pada saat imej dan reputasi industri penerbangan negara telah merosot teruk akibat insiden misteri kehilangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh.

Katanya, kerajaan usah menanti kejadian buruk berlaku barulah sibuk untuk bertindak, bak kata pepatah 'sudah terhantuk, baru tengadah'.

Justeru, ujarnya DPPM menggesa Kementerian Pengangkutan mengumumkan segera laporan Jawatankuasa Audit Bebas KLIA2 agar rakyat dapat menilainya dengan adil dan telus.

Beliau berkata, sebarang unsur salahguna kuasa, penyelewengan dan kecuaian oleh pihak yang terbabit perlulah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan pada masa sama penyelesaian kongkrit terhadap masalah mendapan akibat takungan air perlu diselesaikan dengan kadar segera.

"Kerajaan usahlah menggadai nyawa rakyat akibat kelemahan dan kegagalan dalam bertindak," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 28/7/2015

Share on Myspace