Rombakan Kabinet: Bersama PAS selamatkan negara

HARAKAHDAILY | .

ROMBAKAN kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini sebenarnya hanyalah langkah untuk menyelamatkan beliau sendiri dan bukan untuk menyelamatkan Umno jauh sekali menyelamatkan negara serta memberikan keyakinan kepada rakyat.

Secara zahirnya, golongan yang digugurkan ialah mereka yang membangkitkan persoalan-persoalan yang berlegar dalam kalangan rakyat berhubung ketelusan pengurusan kewangan yang membabitkan wang pembayar cukai.

Keraguan rakyat berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh diselesaikan dengan penyusunan semula kabinet.

Mungkin suara-suara yang menentang boleh disenyapkan di dalam kabinet, namun ia tetap menjadi persoalan utama yang akhirnya akan mencetuskan kebangkitan rakyat.

Jika ditambah pula dengan isu-isu lain seperti skandal pembelian hartanah Mara, Tabung Haji, Felda Global Venture (FGV), kenaikan kos sara hidup, kenaikan tol dan sebagainya, rakyat sebenarnya boleh menjatuhkan hukuman total kepada Umno dan Barisan Nasional di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Jelas sekali, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno tidak berhasrat untuk menyelamatkan negara. Apa yang ingin diselamatkan hanyalah dirinya dan kepentingan golongan yang berkaitan.

Tiada harapan lagi untuk ahli-ahli Umno untuk mengharapkan kepimpinan yang jujur dan telus dari Presiden mereka pada hari ini.

Tiba masanya untuk beralih kepada bahtera penyelamat yang sebenar. Kuasa politik umat Islam wajib diberikan keutamaan.

Sampai masanya untuk PAS menjadi alternatif sebenar kepada seluruh pengundi, sama ada untuk umat Islam khususnya mahupun masyarakat majmuk berbilang agama, Melayu mahupun bukan Melayu, ahli Umno yang ingin berhijrah mahupun yang hanya ingin menterjemahkan sokongan melalui kotak undi.

Mari membina Malaysia Baru. Malaysia yang bebas dari korupsi. Malaysia yang berkebajikan. Malaysia yang ditunjangi kuasa politik Islam sebagai asas penyelamat. Tiada harapan lagi bagi Umno di era kepimpinan ini. - HARAKAHDAILY 28/7/2015

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Bertarikh: 28 Julai 2015

Share on Myspace