Pemecatan Gani Patail tidak sah

WAN ROHIMI WAN DAUD | .

NEGARA dikejutkan dengan berita penamatan perkhidmatan (pemecatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkuat kuasa semalam, 27/7/2015). Manakala Tan Sri Apandi Ali (bekas Hakim Mahkamah Persekutuan) telah dilantik sebagai Peguam Negara yang baru.

Walau bagaimanapun, Tan Sri Gani Patail, sebagaimana laporan berita online, dilaporkan sebagai tidak mengetahui mengenai pemecatan tersebut sehinggalah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Perkara yang jelas, pemecatan Tan Sri Gani Patail adalah langkah terburu-buru serta bercanggah dengan perlembagaan. Berdasarkan penelitian terhadap peruntukan Artikel 145(1) Perlembagaan Persekutuan, kedudukan dan status Peguam Negara adalah sama taraf dengan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Perkara 145(6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Peguam Negara tidak boleh dipecat melainkan berdasarkan sebab-sebab dan kaedah-kaedah yang sama sebagaimana pemecatan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan [..shall not be removed from office except on the like grounds and in the like manner as a judge of the Federal Court].

Manakala Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan dalam bab pemecatan Hakim Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan boleh dipecat - apabila terdapatnya representasi daripada Perdana Menteri, atau daripada Ketua Hakim Negara selepas berbincang dengan Perdana Menteri, kepada Agong.

Maka dalam keadaan sedemikian Agong hendaklah menubuhkan satu tribunal untuk merujuk representasi tersebut kepada tribunal, dan bolehlah selepas menerima rekomendasi tribunal tersebut, untuk memecat Hakim (Peguam Negara) daripada jawatannya.

Secara umumnya sesuatu tribunal ditubuhkan untuk membicarakan isu perlanggaran kod etika dan masalah kesihatan. Anehnya dalam kes Tan Sri Gani Patail, tiada apa-apa tribunal ditubuhkan, bahkan Tan Sri Gani Patail sendiri mengakui beliau tidak tahu menahu tentang pemecatan sehinggalah dimaklumkan sedemikian.

Justeru, walaupun kita mungkin tidak mengenali atau menyukai Tan Sri Gani Patail atas sebarang sebab sekali pun, pemecatan Tan Sri Gani Patail adalah merupakan satu bentuk pencabulan Perlembagaan yang perlu dikecam.

Pencabulan Perlembagaan dan penafian hak untuk dibicarakan (oleh tribunal) terhadap individu bernama Tan Sri Gani Patail ini, memburukkan lagi pencabulan amanah rakyat serta krisis kepercayaan yang sedang melanda negara. Pemecatan Peguam Negara yang bercanggah dengan Perlembagaan ini akan terus mengaibkan negara, di kala negara sedang lemas dengan skandal 1MDB. – HARAKAHDAILY 28/7/2015

Penulis ialah Pengarah, Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace