Rombakan kabinet demi kepentingan individu?

HARAKAHDAILY | .

PAS Selangor melahirkan kerisauan di atas rombakan kabinet yang dilaksanakan pada hari ini. Pada hari ini, Timbalan Perdana Menteri bersama beberapa menteri yang mempersoalkan isu 1MDB telah digugurkan.

Ini merupakan isyarat jelas bahawa mereka digugurkan agar kepentingan Presiden Umno terpelihara dan perhatian rakyat dialihkan daripada isu-isu besar yang melanda negara seperti 1MDB, Felda dan sebagainya.

Selain itu, ini juga memaparkan tindakan-tindakan agresif yang mungkin membawa negara ke arah pemerintahan diktator.

Ini adalah bukti paling jelas bahawa Umno kini sudah hilang arah dan tidak lagi berjuang demi agama dan bangsa.

Umno kini akan bergerak untuk memelihara kepentingan pemimpin tertentu dan menggerakkan jenteranya agar mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu 1MDB dan pengurusan kewangan negara kepada isu-isu remeh.

Namun, rakyat sudah sedar bahawa Umno sudah tidak relevan dan telah dikotori oleh ketamakan kuasa dan kekayaan.

Pertanyaan rakyat berkenaan isu 1MDB, pembelian tanah oleh Tabung Haji, saham Felda yang merudum dan korupsi di dalam Mara masih belum terjawab.

Harapan PAS adalah agar kuasa politik berlandaskan Al-Quran dan as-Sunnah serta meneladani amalan salafussoleh dimartabatkan.

PAS kekal di atas dakwah Islam dan terus istiqamah berjuang menegakkan Islam. PAS Selangor akan terus menentang kebatilan Umno dan terus memperjuangkan hak rakyat.

Persoalannya sekarang, apakah tindakan ahli-ahli Umno? Adakah mereka akan berjuang menegakkan kebatilan dan kepentingan Presiden Umno? - HARAKAHDAILY 28/7/2015

MOHD PRASAD HANIF
Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor
28 Julai 2015

Share on Myspace