Muhyiddin 'terpelanting' bahana 1MDB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin 'terpelanting' daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dikaitkan dengan isu 1MDB.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini kerana Muhyiddin dianggap terlalu lantang mengkritik 1MDB.

"Terbaru beliau bercakap di dalam perjumpaan dengan Umno Cheras dan diviral dalam media sosial.

"Beliau menimbulkan beberapa persoalan mengenai 1MDB yang masih misteri, walaupun beliau anggota kabinet," ujarnya kepada Harakahdaily.

Walaupun, katanya kumpulan penyiasat tidak lagi selesai menyiasat berhubung 1MDB sementara PAC pula belum lagi menyelesaikan tugas penyiasatan.

Dalam pada itu, tambahnya dakwaan wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib masih tidak terjawab sebaliknya akhbar The Edge pula digantung.

Katanya, setakat hari ini sudah empat Timbalan Perdana Menteri yang tidak menjadi Perdana Menteri kerana tidak selari dengan orang nombor wahid yang bermula dengan Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Muhyiddin.

Menurutnya, pemecatan Muhyiddin akan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang terus bertanya mengenai dana awam yang terlalu besar tetapi kesannya rakyat yang terkena.

"Yakinkah para pelabur jika senario ini masih tidak terjawab?

Apakah kesudahan negara kita, ditambah pula dengan nilai ringgit semakin merudum?" tanya belau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Tambahnya, tekanan hidup dengan kenaikan kos sara hidup setiap hari terbeban akibat GST, kenaikan harga petrol dan lain-lain.

Sementara itu, Muhyiddin dalam satu kenyataan menerima keputusan Perdana Menteri menggugurkannya daripada kabinet dengan hati yang terbuka.

Katanya, selama berkhidmat, beliau sentiasa mendukung semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

"Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.

"Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha," ujarnya.

Timbalan Presiden Umno, ujarnya beliau akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada dan mencurahkan khidmat bakti demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada Umno. - HARAKAHDAILY 28/7/2015

Share on Myspace