Masyarakat Malaysia sedang perhati tingkah laku kita

HARAKAHDAILY | .

MALAYSIA sedang menghadapi pelbagai krisis sama ada dari sudut ekonomi, sosial mahupun politik yang sangat meruncing. Isu-isu yang kita sedang depani mencengkam kehidupan rakyat dari hari ke hari.

Keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum semakin terhakis dek perpaduan yang sering diganggu gugat oleh suara-suara chauvinis, rasis dan atas nama kebebasan bersuara mutlak yang tiada batas.

Anak muda Malaysia yang menjadi pewaris negara ini kian hilang arah tuju dan dikhayalkan dengan budaya hedonism melampau yang disokong oleh parti pemerintah sekarang.

Kemaksiatan bermaharajalela di mana-mana. Setiap hari Malaysia dipaparkan dengan pembunuhan kejam tanpa mengira sama ada mangsa itu adalah seorang bayi, anak kecil, ibu, bapa, saudara mara bahkan ianya berlaku tanpa mengenal mangsa.

Penzinaan dan kehidupan liberal semakin menjadi norma masyarakat. Arak dan judi sudah sekian lama mendarah daging. Pengkhianatan amanah menjadikan negara ini menuju kearah kehancuran.

Maka ketahuilah wahai para alim ulama sekalian, masyarakat kita sedang berhadapan dengan penyakit dalaman, luaran, batin dan mental.

Masyarakat mengetahui bahawa kalian merupakan pewaris pada para nabi. Kalian mewarisi ilmu, akhlak dan peranan Rasulullah s.a.w. serta nabi dan rasul sebelumnya. Hidupnya kalian membawa masyarakat kepada Allah dengan berhiaskan qudwah yang terbaik sebagai cerminan kepada didikan Nabi s.a.w yang agung.

Oleh yang demikian, wajarlah kiranya kita bermuhasabah dan menilai semula peranan kita terhadap masyarakat supaya kita terus bergerak kehadapan dengan halatuju yang jelas.

Justeru, beberapa saranan yang perlu diambil perhatian oleh para kepimpinan dan ahli DUPP yang dihormati sekalian:

1. Kepimpinan dan semua ahli DUPP perlu memberi fokus kepada gerak kerja untuk memperkukuh dan memperkasakan tarbiyah dengan memberi penekanan kepada kefahaman tentang aqidah perjuangan khususnya selepas melalui proses sebulan tarbiyah ramadhan dan menyambut kemenangan di bulan syawal. Kita perlu terus kembali memperkayakan ahli dengan ilmu, kefahaman dan amalan mengikut tahap dan sasaran masing-masing.

2. Para asatizah dan ahli DUPP mesti memperbanyakkan gerak kerja dakwah dengan menyantuni serta menyentuh hati masyarakat dengan suluhan ilmu dan iman. Marilah kita berdakwah dengan menyeru dan menyampaikan penerangan kepada ummah secara penuh hikmah dan beradab sesuai dengan pendekatan baginda Rasulullah s.a.w.

Jauhilah diri dari sikap cepat menghukum dan menuturkan kata-kata yang boleh mengguris hati dan perasaan teman, bahkan tindakan-tindakan yang boleh mengundang bertambahnya bilangan musuh dan lawan. Sedarilah bahawa dakwah merupakan salah satu agenda teras dalam PAS.

3. Dewan Ulamak sebagai sayap parti yang menjadi tunjang kepada organisasi, elakkanlah diri dari terperangkap apatah lagi mencetuskan provokasi, kontroversi dan polemik di dalam mahupun di luar jemaah kita.

Sebaliknya perbanyakkanlah bersabar, bertenang, fokus merancang dan melaksana gerak kerja mengikut kapasiti masing-masing serta sentiasa memohon bantuan dan panduan daripada Allah SWT. Jauhilah dari sikap gopoh dan terburu-buru yang akhirnya akan memberi impak yang tidak baik kepada PAS.

Akhirnya, ayuh satukan kembali langkah dan pemikiran kita kepada memperjuangkan hak masyarakat dan mengembalikan kesejahteraan negara dengan memartabatkan agama Allah SWT.

Sesungguhnya masyarakat Malaysia sedang memerhatikan tingkah laku kita dan masih mengharapkan peranan kita dalam memandu ummah di jalan yang semakin berliku akhir-akhir ini. Jangan sesekali kita mengabai kepercayaan dan harapan yang diberikan selama ini.

Sesungguhnya perselisihan yang berpanjangan akan merugikan ummah dan menyasarkan kita dari matlamat PAS yang lebih besar dan utama. - HARAKAHDAILY 29/7/2015

DATUK DR MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Share on Myspace