Mesyuarat MT Umno Jumaat ini, apa nasib Muhyiddin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi merupakan Timbalan Presiden Umno sehinggalah pemilihan yang akan datang.

Menurut penulis Shahbudin Husin, oleh kerana pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan pada 2016 telah ditangguhkan selama 18 bulan lagi untuk memberi laluan kepada pengukuhan parti dan pilihan raya ke-14 terlebih dahulu, ia dijangka hanya akan diadakan pada tahun 2018.

Katanya, ini bermakna, meskipun tanpa jawatan dalam kerajaan, Muhyiddin masih lagi merupakan pemimpin nombor dua dalam Umno sehinggalah tahun 2018 akan datang nanti.

"Ia bukan saja bermakna Najib sebagai Presiden Umno terpaksa duduk bersebelahan dengan Muhyiddin setiap sebulan sekali dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti, malah tidak boleh mengelak daripada duduk bersama di pentas utama ketika Perhimpunan Agung Umno yang diadakan setiap tahun dengan disaksikan oleh para perwakilan daripada seluruh negara," tulis beliau dalam blognya.

Tambahnya, termasuk tahun ini sehinggalah pemilihan 2018 nanti, bermakna sekurang-kurangnya ada empat kali lagi Perhimpunan Agung Umno yang perlu dilalui secara bersama oleh Najib dan Muhyiddin dan ia sekaligus memberi erti kedua-duanya akan terus dalam dilema 'mata berpandangan, budi kedapatan' dalam acara tahunan itu.

Lebih daripada itu, ujarnya sebagai Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin juga masih perlu menunaikan tanggungjawab merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada setiap tahun.

"Bagi Muhyiddin, beliau mungkin tiada masalah menghadiri, baik mesyuarat bulanan MT Umno mahu pun Perhimpunan Agung tahunan parti kerana sebagai orang yang sudah dipecat, itulah peluang untuk terus menampilkan dirinya sambil meraih sisa-sisa simpati daripada mereka yang menyaksikan kehadirannya, tetapi ia tentu saja berlainan bagi Najib," tambahnya.

Baginya, setelah menendang timbalannya itu daripada jawatan kerajaan hanya kerana isu 1MDB dan demi menyelamatkan kerusi Perdana Menterinya, Najib barangkali tidak memerlukan lagi Muhyiddin untuk terus berada di sebelahnya dalam apa jua urusan parti selepas ini.

Lalu, tanya beliau apa nasib Muhyiddin dalam Umno sebenarnya?

"Apakah Najib sanggup membiarkan saja Muhyiddin terus berada dalam parti sebagai orang nombor dua sehingga tahun 2018 nanti atau bakal 'menendangnya' sekali lagi?" tanya beliau.

Katanya, kebetulan pada Jumaat, 31 Julai ini akan diadakan mesyuarat bulanan MT Umno yang bukan saja akan menjadi mesyuarat yang pertama dihadiri oleh Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno tanpa jawatan dalam kerajaan, bahkan mungkin yang terakhir juga baginya.

Tambahnya lagi, tidak lama selepas dipecat semalam, berlegar desas-desus bahawa ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras pada Ahad lalu sedang dikaji dan dianaliasa untuk mencari kemungkinan ia turut melanggar disiplin parti. - HARAKAHDAILY 29/7/2015

Share on Myspace