Muhyiddin dipecat, warga Felda makin celaru

NARAZA MUDA | .

Warga Felda mengikuti perkembangan muktakhir politik arus perdana dengan penuh minat, dengan harapan berlaku perubahan besar untuk menyelamatkan kedudukan Felda yang kian mengecil dari penguasaan sektor perladangan sawit dan industri hiliran berkaitan setelah FGV mengambil alih sebahagian besar peranan Felda sebelum ini.

Dengan pengumumun mengejutkan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Kabinet dan Timbalan Perdana Menteri dilihat semakin memberi kecelaruan kepada 1.5 juta warga Felda seluruh negara. Ini kerana sebelum ini warga Felda mengharapkan bekas Timbalan Perdana Menteri ini dapat membuat sesuatu menyelamatkan aset terbesar orang Melayu.

Isu pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda oleh Perdana Menteri sejak 2011 telah mengubah hampir keseluruhan kedudukan Felda dan menjadi Felda sebagai satu sejarah kejayaan bangsa Melayu di bidang perladangan khasnya Industri sawit dan getah.

Penyenaraian FGV ke Bursa Saham BSKL, penyerahan aset tanah ladang 360,000 hektar kepada FGV, pemecatan pegawai-pegawai Felda yang berjasa memacu Felda, pembelian aset dalam dan luar negara yang amat diragui dan penuh tipu helah, penggunaan tunai yang besar untuk pelaburan berisiko tinggi telah menjadikan warga Felda berada dalam keadaan yang keliru dan resah.

Koperasi terbaik, Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah dipaksa menyerahkan kepentingan pegangan ekuti 51 peratus dalam Felda Holdings Berhad (FHB) dengan nilai jauh lebih rendah dari nilai sebenar dan paling lucu dialaf ini, proses ini hanya dilakukan dengan memaksa perwakilan dari seluruh negara mengangkat tangan tanda setuju menyerahkan aset berbillion ringgit kepada FGV.

Kini KPF terpaksa meneruskan perniagaan mereka dengan mencari peluang baru untuk terus bertahan dan terus memberi keuntungan kepada 112,635 peneroka seluruh negara dan sebahagian kakitangan Felda yang telah melabur sejak sekian lama.

Lebih mengejutkan KPF dipaksa memberi tanah ladang sawit di Samarahan bagi mengantikan aset yang hilang dan apa yang lebih malang dipercayai berlaku penipuan urus niaga ini oleh pegawai atasan Felda dan individu berkepentingan. Amat malang bagi KPF dan peneroka Felda, malang berganda.

Isu generasi kedua Felda juga diambil kesempatan oleh pihak yang rakus di dalam Felda sebagai sumber mengaut keuntungan secara haram. Peruntukan RM1.4 billion untuk menyediakan 20,000 unit rumah kepada golongan ini telah dihentikan setelah hanya 8,500 unit sahaja dibina dan dari jumlah ini, tidak semua unit ini berjaya disiapkan dan diduduki.

Isu hutang yang tidak munasabah terpaksa ditanggung oleh sebahagian besar peneroka Felda bagai tiada jalan penyelesaian dan ini menjadi satu bentuk penggadaian terancang yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk terus mengikat peneroka Felda dalam kancah hutang, sampai mati pun peneroka tidak mampu membayar hutang ini jika sudah mencecah RM150,000,00 di ketika usia menjangkau umur 70-an. Ibarat kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, peneroka mati meninggalkan hutang.

Justeru itu, adalah diharapkan generasi kedua Felda perlu mengambil berat dan cakna mengenai isu di kalangan warga Felda dan pewaris kepada peneroka Felda. 54 daripada 222 parlimen yang ada tanah rancangan Felda seluruh negara tidak sewajarnya dijadikan bahan gadaian kepada pelabur asing melalui FGV dan kita masih punyai ruang untuk perbetul kedudukan Felda dari terus dimusnahkan walaupun terpaksa membayar dengan nilai yang tinggi.

Kedudukan terkini harga semasa saham FGV yang telah menjunam teruk pastinya memberi kesan langsung kepada kedudukan tanah-tanah peneroka Felda di seluruh negara. - HARAKAHDAILY 29/7/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Share on Myspace