1MDB: Tak perlu tangguh mesyuarat PAC

OOI HENG | .

Badan Pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) hari ini mempertikaikan pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa susulan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan kabinet semalam, semua prosiding yang diatur pada Ogos termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan ditangguhkan sehingga ahli baharu PAC dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

KPRU ingin membawa perhatian umum kepada Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di mana dinyatakan dalam Peraturan 77(3) bahawa semasa ketiadaan Pengerusi PAC atau naib pengerusi oleh kerana keuzuran atau lain-lain sebab, PAC hendaklah memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi seorang pengerusi yang akan mempengerusikan mesyuarat PAC itu.

Hal ini bermaksud, prosiding PAC yang diatur pada Ogos membabitkan 1MDB tidak perlu ditangguhkan. Sebaliknya, Naib Pengerusi PAC boleh mempengerusikan mesyuarat PAC mengenai 1MDB akan datang.

Biarpun naib pengerusi tidak hadir dalam mesyuarat, PAC hanya perlu memilik daripada kalangan ahli PAC seorang pengerusi untuk meneruskan mesyuarat PAC mengenai 1MDB.

Sementara itu, Peraturan 77(2) menyatakan bahawa PAC hendaklah mengandungi tidak kurang daripada enam dan tidak lebih daripada dua belas orang ahli yang akan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segeranya selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen.

Peruntukan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bermaksud pelantikan empat ahli PAC ke dalam kabinet tidak menjejaskan prosiding 1MDB. Asalkan terdapat sekurang-kurangnya enam ahli PAC hadir dalam mesyuarat, prosiding PAC mengenai 1MDB boleh dan wajar diteruskan tanpa berlengah-lengah lagi.

Sesungguhnya, kini tiba masa Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menyatakan keazaman beliau untuk melakukan pembaharuan sistem dan perjalanan Parlimen mengambil tindakan sewajarnya untuk menegaskan apa yang dinyatakan oleh beliau bukan janji kosong.

Pandikar Amin telah mencadangkan bahawa bagi menghilangkan persepsi rakyat Parlimen dan Speaker bertugas atas arahan eksekutif, jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen perlu ditiadakan.

KPRU menyokong cadangan pembaharuan Pandikar Amin. Dalam konteks pendengaran PAC mengenai skandal 1MDB, KPRU ingin menambah bahawa bagi menghilangkan persepsi rakyat Parlimen, Speaker dan PAC bertugas atas arahan eksekutif, kedua-dua Speaker dan ahli-ahli PAC haruslah menegaskan autonomi sistem perundangan tanpa tunduk kepada kehendak Perdana Menteri yang mewakili sistem eksekutif. - HARAKAHDAILY 29/7/2015

Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Share on Myspace