Kabinet 'angguk' untuk lindungi salah laku Najib

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bukan usaha menyelesaikan permasalahan utama iaitu ekonomi negara dan mengurangkan beban rakyat.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, rombakan itu dilihat hanya seperti kabinet 'angguk' yang akan berusaha melindungi salah laku Najib.

Menurutnya, rakyat sedang dibebani dengan kejatuhan nilai wang ringgit, kenaikan kos bahan api dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

Ini, kata beliau adalah kesan daripada salah laku tadbir ekonomi, kewangan dan pentadbiran negara yang menyebabkan ketidakyakinan para pelabur untuk melabur dalam negara ini.

"Rombakan ini seperti pembentukan team untuk bekerjasama menutup penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan secara langsung dengan Najib.

"Tan Sri Muhyiddin adalah antara individu yang dilihat bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu 1MDB dan kini beliau digugurkan," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki menyifatkan rombakan itu tidak mampu menyelesaikan segala permasalahan utama negara dan rakyat.

Menurutnya, segala kebobrokan yang berlaku ini hanya boleh diselesaikan dengan pembentukan satu kerajaan baharu yang lebih adil, integriti serta bertanggungjawab.

"Sepatutnya yang ditukar bukan menteri kabinet tetapi kepimpinan negara. Perdana Menteri sepatutnya bubar parlimen supaya rakyat boleh memberi mandat kepada kerajaan baharu.

"Tindakan Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin dan beberapa yang lain semata-mata untuk melindungi dirinya apabila kepincangannya sudah berani dipersoalkan," jelasnya lagi.

Misbahul menyatakan, perkembangan ini juga petanda akhir akan berlaku perpecahan yang sangat dahsyat dalam Umno.

Tegasnya, inilah masa terbaik untuk rakyat berfikir, menilai betapa parti Melayu itu sepanjang zaman tidak akan menerima pemimpin lain yang berani mengkritik ketuanya sendiri. - HARAKAHDAILY 29/7/2015

Share on Myspace