Gugur Muhyiddin: Pandangan Presiden PAS jauh ke depan

MOHD NOR HAMZAH | .

Muhyiddin mengadakan sidang media di rumahnya. (Foto WAN ZAHARI)

Saya sebagai seorang rakyat Malaysia, walaupun saya bukan seorang ahli Umno dan tidak pernah menyokong Umno, ingin melahirkan simpati saya kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dan juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pengguguran beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dari jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (saya sebutkan dua jawatan penting ini sahaja).

Sebagai seorang Islam, walaupun itu adalah tindakan dari pihak musuh, namun, Islam tidak membenarkan kezaliman berlaku kepada sesiapapun, oleh kerana Islam mengajarkannya, maka saya mengutarakan simpati saya.

Jika kedudukan yang kedua tertinggi dan jawatan menteri itu yang penting itu, mendapat layanan sebegini, maka apa lagi yang tinggal kepada rakyat bawahan.

Memang benar Muhyiddin bukan dibuang parti, cuma digugurkan dari kabinet. Pelbagai alasan yang diberikan bagi menjustifikasikan pengguguran itu, namun dalam Islam, kesalahan mesti dibuktikan terlebih dahulu sebelum sesuatu hukuman dijalankan.

Dan persoalannya, apakah kesalahan Muhyiddin? Sedangkan Muhyiddin dan Tun Dr Mahathirlah orang yang membantu Najib naik menggantikan Pak Lah dahulu.

Mungkin menyedari akan kebolehan Muhyiddin, maka Najib mengambil langkah awal, jasa dan budi Muhyiddin tidak dikenang. Maka menanggung aiblah Muhyiddin.

Saya melihat tindakan ini mirip kepada tindakan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohammad yang telah menggugurkan dua timbalannya hanya kerana berbeza pemikiran dengan beliau dalam beberapa perkara. Malah sehingga beliau sanggup memalukan bekas timbalannya. Inilah dia tradisi Umno dalam mencari kelangsungan politik mereka.

Kepimpinan mereka, tidak kira Mahathir atau Najib, mereka sebenarnya menzahirkan ketakutan mereka di sebalik tindakan ala diktaktor yang mereka lakukan.

Tiada yang mereka perlukan melainkan mengampu-pengampu yang sentiasa berada di keliling mereka bagi membenarkan tindakan mereka walaupun bersalahan dengan undang-undang manusia dan Allah.

Betapa isu ini menjelaskan bahawa walaupun bertukar menteri, ataupun Perdana Menteri sekalipun, jika parti yang sama masih berkuasa, maka tiada maknanya.

Amat jelas kebijaksaan Presiden PAS dalam melontarkan pandangan bahawa, Datuk Seri Najib perlu dikekalkan bagi rakyat menghukumnya, kerana penurunannya dari jawatan PM, tidak akan menjamin negara kita akan terlepas dari belenggu permasalahan dan isu-isu yang menjerut yang sedia ada, tetapi dengan menukar kerajaan dan parti mengikut lunas undang-undang yang sedia adalah, maka kita boleh memastikan sistem pentadbiran negara dapat diubah dengan jayanya.

Pastilah jika PAS diberikan peluang oleh rakyat untuk memerintah, akan memberikan segala usaha yang terbaik bagi kesejahteraan rakyat Malaysia dengan keadilan yang dianjurkan oleh Islam dan sentiasa istiqamah dengan jalan Islam sejak dahulu lagi.

Saya melihat krisis kepimpinan Umno ini akan menjadikan Umno berpecah teruk insya Allah kerana Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal juga mempunyai kekuatan akar umbi yang mampu memberikan impak yang besar kepada kepimpinan Datuk Seri Najib. Kesan ini juga boleh menyebabkan kerajaan Umno BN akan tumbang.

Lebih jelas lagi, ada laporan kepada SPRM berkaitan dengan dengan penyelewengan projek 1BestariNet yang dikatakan melibatkan sejumlah kira-kira RM633 juta wang rakyat.

Terlintas dalam benak fikiran ini, kenapa Menteri Pendidikan 2 Datuk Seri Idris Jusoh tidak terpalit sama?

Saya yakin, barisan kabinet baru ini tidak jauh bezanya dengan yang lama kerana yang perlu ditukar ialah Umno itu sendiri. - HARAKAHDAILY 29/7/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu.

Share on Myspace