Rombakan kabinet untuk selamatkan individu

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib semalam dengan menggugurkan Tan Sri Datuk Muhyiddin Yasin adalah untuk menyelamatkan diri beliau  daripada berbagai-bagai tuduhan terutamanya salahlaku pengurusan kewangan 1MDB.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPM) Wan Hasrina Wan Hassan, penamatan kontrak Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara tergesa-gesa pada saat  proses siasatan terhadap ketelusan pelaburan terbesar dan kritikal 1MDB menunjukkan indikasi yang  jelas untuk melindungi suspek yang rakus meratah wang negara dan rakyat yang menanggung beban hutang RM42 Billion.

Malahan katanya, perlantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri yang baru menyebabkan kekosongan jawatan Pengerusi PAC  menguatkan lagi andaian bahawa Najib dengan sengaja melengah-lengahkan laporan pengauditan 1MDB dan berusaha untuk menutup kemelut salahlaku pengurusan kewangan 1MDB.

"Najib masih lagi gagal menjawab tuduhan mahu pun menyaman The Wall Street Journal yang melaporkan transaksi amat besar berjumlah RM2.6 billion wang 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun yang dipercayai milik beliau.  

"Tuduhan yang amat berat ini ditambah dengan hutang 1MDB RM42billion sudah tentu memberi impak buruk kepada ekonomi negara dan merosakkan imej baik Malaysia di mata dunia," katanya kepada Harakahdaily.

Muhyiddin Yasin adalah tokoh yang vokal dan berani mengkritik kepimpinan DS Najib berkenaan kemelut 1MDB sejak Mac 2015 lagi.  

Beliau mendesak agar menyegerakan pembentangan laporan interim 1MDB yang dibuat oleh Jawatankuasa Akaun Awam Negara (PAC) dan menggesa agar tidak menganggu  anggota penyiasat yang dilantik namun ia dipandang sepi oleh DS Najib.

Tegas Wan Hasrina, rakyat melihat usaha  Najib menyusun semula kabinet dapat melenyapkan suara-suara yang mengkritik kepimpinan beliau namun ia tetap menjadi persoalan besar yang cuba dilindungi yang akhirnya akan mencetuskan kebangkitan rakyat.

"Najib telah bersikap autokratik dengan mengambil tindakan terhadap The Edge dan Sarawak Report serta mencantas semua pihak yang mengkritik skandal 1MDB.

"Bagi mereka yang mengampu beliau, akan diberikan kedudukan dalam penyusunan semula kabinet semalam. Amat jelas Najib selaku Presiden Umno tidak berhasrat untuk menyelamat negara tetapi ingin menyelamatkan dirinya dan golongan yang berkait kepentingan dengannya," tegas beliau.

Bagaimanapun, katanya, rakyat sudah tidak terpedaya dengan wayang rombakan kabinet untuk mengalihkan perhatian dari isu 1MDB.

"Ia sekadar untuk melupuskan pengkritik 1MDB sahaja dan tidak lebih dari itu. Perlantikan Datuk Seri Zahid Hamidi tidak akan memberi kemantapan dan menambah nilai kabinet Najib, tetapi ia lebih kepada menjadikan DS Zahid sebagai panglima untuk mengukuhkan kedudukan Najib. Zahid diharap menjaga Najib bukan kerajaan. Itupun yang dilakukan Zahid selama berada dalam kabinet selama ini.

"Najib dilihat menjaga survival politik melebihi dari keutamaan dan kepentingan negara. Beliau menuruti  jejak langkah dan teknik-teknik yang ditinggalkan oleh bekas mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad dengan membersihkan saingan-saingan politik dalaman parti," tambah beliau.

Justeru katanya, persoalan lain di sebalik rombakan kabinet itu yang membelenggu pemikiran rakyat, apakah tindakan Muhyiddin seterusnya, apakah bekas TPM itu hanya mendiamkan diri dan berehat daripada politik, apakah dia akan bersekongkol dengan mereka yang senasib dengannya.

"Tiada harapan lagi untuk ahli-ahli Umno untuk mengharapkan kepimpinan yang jujur, bersih dan telus daripada Presiden mereka yang ada pada hari ini. Sudah tiba masanya ahli-ahli dan penyokong Umno beralih arah kepada bahtera penyelamat sebenar yang berpaksikan kuasa politik Islam PAS. Melalui wadah PAS kita membina Malaysia baru yang bebas dari korupsi, mempunyai integriti yang sebenar, berkebajikan dan bersama dengan keadilan sistem Islam," ujar beliau. – HARAKAHDAILY 30/7/2015

Share on Myspace