Betulkah apa yang disebut Muhyiddin itu?

HARAKAHDAILY | .

Sidang akhbar Muhyiddin di rumahnya, semalam.

KUALA LUMPUR: Sekali lagi video rakaman curi 'menembak' Datuk Seri Najib Razak tersebar dengan meluas. Dan sekali lagi juga ia berkaitan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, cuma mungkin yang merakamnya saja orang yang berbeza.

Demikian tulis Shahbudin Husin dalam blognya http://shahbudindotcom.blogspot.com, hari ini.

Melalui rakaman perbualan antara Muhyiddin dengan beberapa tetamu di rumahnya, termasuk Mukhriz Mahathir dan Abdul Kadir Sheikh Fadzir, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatakan beliau sudah bersemuka dengan Najib berhubung dakwaan melibatkan wang RM2.6 bilion sebagaimana laporan WSJ itu.

Muhyiddin, dalam video itu kemudian mengatakan Najib mengakui mengenai wang tersebut dan rakaman itu berakhir dengan ayat, "lalu saya tanya, kenapa masuk dalam akaun peribadi anda?"

Menurut Shahbudin, video hampir seminit itu sudah pun mula tersebar luas di alam maya sejak malam tadi dan menjadi perbualan hangat ketika ini.

Tambahnya, tidak saja di bandar dan kota, makcik-makcik tua di kampung yang mempunyai telefon pintar, sebahagiannya kerana hadiah daripada anak-anak atau membelinya hasil wang BR1M, turut berpeluang menontonnya.

"Maklumat sekarang sudah menerobos hingga ke ceruk kampung jauh di pedalaman. Meriah beb," tulisnya lagi.

Katanya, ada beberapa rakan memberitahu, mereka juga dihubungi oleh ibu, kakak atau emak saudara di kampung sambil bertanya, 'betulkah apa yang disebut Muhyiddin itu'.

Bagi beliau, walaupun video itu merupakan rakaman curi dan sekali lagi siapa perakamnya sedang dipertikaikan dan dicari, yang penting di sini ialah apakah isi yang diperkatakan oleh Muhyiddin itu.

"Lupakanlah menempelak siapa perakamnya dan cuba menyalahkan perbuatan itu kerana perakam curi ini ialah pencuri yang baik, budiman dan berjasa kepada negara.

"Lihat mesej dan isi rakaman video itu jika jujur mahukan kebenaran," ulasnya lagi. - HARAKAHDAILY 30/7/2015

Share on Myspace