Umno: Najib hadapi jalan buntu singkir Muhyiddin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menghadapi jalan buntu untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin dari kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno yang sepatutnya dilakukannya dengan pantas setelah menyingkirkannya dari Timbalan Perdana Menteri.

Menurut bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin ini terdedah apabila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipanggilnya esok di samping taklimat Presiden Umno mengenai penyingkiran itu dibatalkan kerana dibimbangi akan menimbulkan kekecohan.

"Walaupun Muhyiddin dan Shafie Apdal yang menjadi mangsa pemecatan tidak berpotensi untuk menimbulkan kekacauan tetapi kenyataan mereka untuk hadir di MKT sudah cukup mengancam perasaan Najib," tulis beliau dalam blognya, hari ini.

Ini, ujarnya berbeza dengan Tun Dr Mahathir yang walaupun tidak pasti sokongan  terhadapnya tetapi telah memanggil mesyuarat MKT sebaik sahaja memecat Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

"Tetapi Najib nampaknya tidak berani mengambil risiko walaupun beliau pasti sebahagian besar anggota MKT menyokongnya," ujarnya lagi.

Justeru, beliau tidak boleh membayangkan apa akan terjadi kepada Umno sekiranya Muhyiddin terpaksa dikekalkan kedudukannya hingga mesyuarat perwakilan Umno akan datang.

"Dalam tidak menemui alasan yang kuat, Najib mungkin akan membuat kenyataan beliau tidak bermaksud untuk memecat  Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno tetapi sekadarkan Timbalan Perdana Menteri sahaja," ulasnya lagi. - HARAKAHDAILY 30/7/2015

Share on Myspace