TPPA: Kebarangkalian M'sia tidak tandatangani tipis

DR ROSLI YAAKOP | .

Pusingan terakhir rundingan Perjanjian Perkongsian Negara-Negara Rentas Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) sedang berlangsung di Hawai sekarang. Bahagian pertama rundingan di peringkat ketua-ketua perunding  bermula pada Jumaat, 24 Julai 2015 dan berakhir pada Isnin, 27 Julai 2015. Ini diikuti pula oleh perundingan di peringkat menteri-menteri perdadangan yang bermula pada Selasa, 28 Julai 2015 sehingga Khamis, 31 Julai 2015.  

Dilaporkan, rundingan di peringkat menteri ini diberi mandat untuk mentuntaskan apa-apa jua isu yang masih tertangguh dan memuktamadkan teks perjanjian pada hari terakhir perundingan (31 Julai). Selepas itu, teks perjanjian akan melalui proses semakan perundangan sebelum ianya ditandatangan oleh dua belas ketua negara anggota TPPA, dijangka pada Oktober atau November 2015.  Memandangkan proses perundingan telah berlarutan sehingga memakan masa lebih dari 5 tahun, kebarangkalian untuk perundingan ditangguhkan lagi adalah tipis.

TPPA dianggotai oleh 12 negera terdiri dari Australia, Brunei, Canada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. Arkitek utama perjanjian ini adalah negara Amerika Syarikat. Perkumpulan 12 negara ini mewakili kira-kira 40% daripada jumlah perdagangan dunia.

Negara anggota ASEAN yang lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja setakat ini tidak menyertai TPPA dengan alasan, antara lain, manfaat ekonominya tidak memberangsangkan kepada mereka.

Amerika Syarikat mendakwa perjanjian ini akan meruntuhkan halangan perdagangan di antara negara-negara anggota yang kesannya akan memacu penwujudan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan pelaburan di kalangan negara anggota kerana melalui perjanjian ini pelabur-pelabur bakal mendapat perlindungan perundangan yang lebih kuat dan terjamin.

Namun dakwaan berkenaan tidak dapat dinilai secara bebas kerana perundingan dan isi kandungan perjanjian dirahsasiakan. Hatta, setelah perjanjian ditandatangi kekal, ialah kekal dirahsiakan. Penilaian yang dibuat pelbagai pihak hanyanya berasaskan maklumat yang dibocorkan.  

Pengkritik-pengkritik sebaliknya mendakwa bahawa TPPA terlalu berat sebelah menguntungkan syarikat-syarikat multi-nasional, mengkesampingkan kepentingan negara anggota dan kepentingan masyarakat pengguna khasnya bagi negara anggota yang masih di dalam kategori negara-negara sedang membangun. Ini khususnya timbul dari mekaninisme penyelesaian perbalahan di antara pelabur dan negara tuan rumah atau "Investor- State Dispute Settlement (ISDS) mechanism" yang dianggap pincang kerana mekanisme berkenaan membenarkan syarikat-syarikat pelabur menyaman kerajaan tuan rumah dan kerajaan tuan rumah pula tidak dibenarkan berbuat demikian. Saman ini pula dikemukakan dan diadili oleh mahkamah tribunal antarabangsa yang dikuasai oleh negara-negara maju, mengkesampingkan sistem perundangan negara tuan rumah sendiri. Ini bermkna, ISDS memberi hak istimewa kepada pelabur-pelabur luar  tetapi hak yang sama dinafikan bagi pelabur-pelabur dalam negara.

Pengkritik-pengkritik mendakwa bahawa kes pelabur-pelabur menyaman negara tuan rumah kini semakin meningkat. Misalanya, syarikat rokok gergasi, Philip Moris telah menyaman kerajaan Ausralia dengan mendakwa kerajaan Australia telah memungkiri peruntukan-peruntukan tertentu di dalam perjanjian pelaburan dua hala di antara Austalia dan Amerika Syarikat. Kes ini timbul apaila kerajaan Austalia memperkenalkan "plain packaging laws for cigarettes" dalam tahun 2012. Undang-undang itu didakwa memberi impak negatif kepada jualan rokok syarikat berkenaan di Australia menyebabkan unjuran keuntungan tidak tercapai. Ketua Hakim Australia melihat  bahawa proses penyelesaian kes ini melalui mekanisme ISDS mengkesampingkan sistem perundangan negara Australia dan oleh itu, mengkompromi kedaulatan negara.

Dilaporkan, Philip Moris juga telah menyaman kerajaan Uruguay dengan mendakwa bahawa peraturan yang diperkenalkan oleh kerajaan Uruguay supaya amaran kesihatan padak kotak rokok dipamerkan dengan huruf yang lebih besar memberi impak negatif kepada jualan rokok di Uruguay menyebabkan keuntungan terjejas. Dilaporkan, tindakan Philip Moris ini menimbulkan kemarahan Bill Gates  dan Michael Bloomberg lalu kedua-dua mereka melancarkan sebuah dana bertujuan membantu negara-negara sedang membangun seperti Uruguay dalam perperangan mereka melawan syarikat-syarikat pengeluar rokok gergasi dunia.

UNCTAD (United Nation Conference on Trade and Development) dalam laporan terkini mendedahkan bahawa kes-kes di mana syarikat-syarikat korporat menyaman kerajaan tuan rumah  dalam tempoh 1987-2014 didapati meningkat dengan ketara. Dari jumlah 608 kes, lebih daripada 25% berlaku dalam tiga tahun terkini dan sebahagian besarnya adalah kes-kes di mana syarikat-syarikat korporat menyaman kerajaan-kerajaan negara yang sedang membangun dengan tidak menafikan bahawa kes saman oleh syarikat korporat terhadap kerajaan negara maju juga semakin bertambah. Didapati pula kebanyakan syarikat yang menyaman - lebih daripada 80% - adalah syarikat-syarikat yang berpengkalan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa negara anggota Kesatuan Eropah.

Ini menyebabkan ada ahli-ahli ekonomi yang melihat bahawa ISDS ini satu "blunt instrument" yang memberi perlindungan berlebihan kepada syarikat-syarikat korporat dunia. Ia memberi hak kepada syarikat korporat untuk menyaman kerajaan dari segenap penjuru - kiri, kanan, depan dan belakang - dan menyimpulkan bahawa ini bukanlah caranya untuk membina dan memperkasakan perdagangan di antara negara-negara. Mereka berpendapat bahawa cara yang betul untuk melindungi pelabur-pelabur ialah dengan membina institusi dan peraturan perdagangan yang telus supaya akhirnya negara-negara yang tidak mempunyai instusi dan peraturan perdagangan yang telus akan disisihkan oleh pelabur-pelabur.

Di Jerman, perbahasan mengenaan mekanisme ISDS menjadi semakin rancak, hangat dan penuh kontroversi sejak kebelakangan ini apabila dalam tahun 2012, kerajaan Jerman disaman oleh syarikat Vattenfall, sebuah syarikat yang berpengkalan di Sweden, dengan jumlah tuntutan sebanyak 4.7 bilion Euro. Syarikat berkenaan mendakwa bahawa pengenalan dan perlaksanaan dasar untuk menghapuskan penggunaan kuasa nuklear secara beransur-ansur di Jerman, telah mengakibatkan dua buah stesyen penjana kuasa nuklear milik syarikat berkenaan di Jerman terpaksa di tutup dan akibatnya, syarikat itu mengalami kerugian.  Pengkritik-pengkkritik mekanisme ISDS ini melihat bahawa ianya memberi ruang yang terlalu luas untuk pelabur-pelabur luar mengkesampingkan mahkamah di negara tuan rumah dan mencabar hak bagi negara tuan rumah untuk menggubal undang-undang bertujuan melindungi kepentingan negara dan rakyat sendiri.

Berdasarkan kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah tribunal antarabanga melalui ISDS, pengkritik TPPA berpendirian bahawa peruntukan-peruntukan di dalam ISDS terlalu berat sebelah, memindahkan kuasa kerajaan-kerajaan yang berdaulat kepada syarikat-syarikat korporat global.   Oleh itu, pada pandangan mereka, TPPA tidak wajar diteruskan.

Bahawa, TPPA bakal ditandatangi oleh kedua-dua belas negara anggota bolehlah dianggap sebagai satu perkara yang sudah tuntas. Kongres Amerika Syarikat pun sudah memberi kuasa kepada Presiden Amerika untuk meletakkan "projek TPPA" ini pada jalur "fast track" yang membawa makna ia pasti akan diluluskan tanpa sebarang pindaan di dalam teks TPPA yang bakal dimuktamadkan di Hawai oleh menteri-menteri perdangangan negara-negara anggota. Kebarangkalian bagi Malaysia untuk tidak menandatangi TTPA terlalu tipis apatah lagi memandangan pucuk pimpinan dihantui pelbagai skandal sekarang yang meletakkan Malaysia pada posisi amat mudah untuk diblackmail oleh mana-mana kuasa yang cenderung untuk berbuat demikian.

Seandainya, rakyat Malaysia masih berdegil dengan usul meminta kerjaan Malaysia menarik diri dari TPPA, maka nampaknya, jalan yang masih terbuka adalah mobilsasi rakyat menentang TPPA. Kerajaan nampaknya tidak berdaya untuk menyelamatkan negara dari penjajahan bentuk baru yang bernama TPPA ini. - HARAKAHDAILY 30/7/2015

Share on Myspace