Kabinet baharu komplot lindungi Najib, kata Mahfuz

| .

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggantikan Tan Sri Muhyidin Yassin dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya hanya untuk menyembunyikan perkara sebenar mengenai skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, hanya kerana Muhyidin menyatakan perbezaan pendapat mengenai 1MDB dalam forum terbuka menyebabkan beliau disingkirkan membuktikan hilangnya integriti Najib sebagai perdana menteri.

Sedangkan katanya, semua mengetahui Muhyidin menyatakan perbezaan pendapat itu dalam program dalaman Umno dan yang terakhir pada ucapan Perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Cheras atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Umno.

"Persoalannya, apakah salah untuk seorang Timbalan Presiden Umno menyatakan demikian di hadapan ahli-ahli Umno? Tindakan Najib sebenarnya hanyalah untuk menyembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan ahli-ahli Umno dan rakyat.

"Ini sangat malang dan amatlah dikesali. Jika pun persoalan Tan Sri Muhyidin itu adalah atas kapasiti sebagai seorang anggota kabinet, apa masalahnya untuk beliau berkata sesuatu dalam konteks melindungi kepentingan negara dan rakyat? Apa yang dibangkitkan oleh Muhyidin ialah persoalan integriti dan amanah seorang Perdana Menteri yang telah pun hilang," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, anggota kabinet baharu yang diharapkan dapat menyelamatkan negara merupakan mereka yang boleh berkomplot dan berkonspirasi melindungi Najib agar terselamat daripada pendakwaan di mahkamah berkaitan skandal 1MDB.

"Negara kini di ambang keruntuhan. Apa yang hendak diharap pada anggota Kabinet yang baru untuk nak menyelamatan negara, sedangkan mereka terpilih dilantik menganggotai Kabinet adalah kerana mereka boleh berkomplot dan berkonspirasi untuk melindungi Najib agar terselamat daripada pendakwaan di Mahkamah berkaitan Skandal 1MDB.

"Tiada pilihan bagi rakyat Malaysia melainkan menuntut pembubaran parlimen dan diadakan segera pilihan raya baharu untuk rakyat membuat perubahan demi Malaysia tercinta," tegasnya. - HARAKAHDAILY 30/7/2015

Share on Myspace