Pemuda PAS gesa panggil sidang khas parlimen segera

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Perdana Menteri memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memanggil satu sidang mesyuarat khas segera ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Timbalan Perdana Menteri, pertukaran Tan Sri Gani Patail dan pelantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, kelmarin.

Timbalan Ketua DPPM, Muhammad khalil Abdul Hadi berkata ini selaras dengan peruntukan Peraturan 11 (3), Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat.

Katanya, perkembangan 1MDB terkini telah menjadi isu politik sehingga menjejaskan kepentingan awam termasuk memburukkan keadaan ekonomi dan melemahkan keyakinan pelabur luar negara.

Tambah beliau, tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri selaku individu penting dalam 1MDB telah menjejaskan integriti dan pertembungan konflik kepentingan dalam proses siasatan 1MDB.

"Oleh yang demikian, sidang khas tersebut boleh menjawab pelbagai dakwaan termasuk membuktikan akauntabiliti Perdana Menteri dalam isu ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, laporan interim yang telah diserahkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara baru-baru ini boleh dibahaskan dan didedahkan kepada awam selepas mesyuarat khas tersebut.

Sementara itu, ujar beliau ia juga boleh memudahkan urusan perjalanan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Katanya, jadual rutin mesyuarat Dewan Rakyat pada bulan Oktober akan datang dianggap terlalu lewat. - HARAKAHDAILY 30/7/2015

Share on Myspace