Teruskan agenda perubahan negara - DUPP

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menzahirkan rasa simpati kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kelmarin dan mengharapkan beliau sabar dengan ujian.

Ketua DUPP, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, perlucutan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kelantangan Muhyiddin yang mula bersuara mengenai isu 1MDB.

"Walau bagaimanapun, keadaan itu diharap tidak melemahkan semangat Muhyiddin untuk meneruskan agenda perubahan negara yang kian dihimpit pelbagai skandal di dalam mahupun di luar negara," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, apa yang lebih utama adalah usaha ke arah Malaysia yang lebih baik ini mendapat dukungan bersama oleh semua pihak.

Beliau berkata, Muhyiddin seharusnya bertindak lebih lantang dalam menyampaikan pandangan-pandangan mengenai pelbagai kemelut yang melanda negara akhir-akhir ini.

Tambahnya, isu skandal terbesar 1MDB dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah antara isu yang menjadi perhatian ramai pihak ketika ini dan ia bakal menentukan masa depan negara.

"DUPP juga mengalu-alukan Muhyiddin bersama-sama PAS untuk berganding bahu meneruskan agenda perubahan ini ke arah Malaysia yang lebih sejahtera," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Johor.

Katanya, PAS menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja yang bersedia untuk berjuang meneruskan agenda perubahan seterusnya memartabatkan Islam di bumi Malaysia. - HARAKAHDAILY 30/7/2015

Share on Myspace