Presiden PAS bertemu pemimpin PPP Indonesia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Satu pertemuan antara Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama Ketua Umum Partai Persatuan Pembangunan (PPP), Ir HM Romahurmuziy dan pimpinan PPP telah diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Turut hadir bersama dalam pertemuan ini ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Mohamad Abduh, Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri dan Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Pertemuan itu bertujuan untuk merapatkan hubungan di antara parti-parti Islam di rantau Asia Tenggara dan saling berkongsi pengalaman berpencak di pentas politik negara masing-masing.

Di samping itu, pertemuan itu juga sebagai undangan awal daripada pihak PPP menjemput Presiden PAS untuk menghadiri Kongres Parti-parti Agama Sedunia pada Januari 2016 sekaligus memperingati ulang tahun ke-43 PPP.

Perbincangan dua hala yang bertumpukan isu politik kedua-dua negara dan juga politik antarabangsa.

Turut dibincangkan adalah isu isu dalam negara islam.

Wakil PPP juga banyak bertanyakan pengalaman PAS dalam mentadbir negeri dan kerajaan.

Di samping itu, perbincangan hangat berlaku apabila isu masa depan dunia Islam khususnya melihat perkembangan di Asia Barat.

Presiden PAS memberikan pandangan, bahawa dalam arus kebangkitan Islam hari ini, wujudnya golongan tasyaddud dan golongan tasahul.

Golongan tasyadud yang bersikap keras tanpa bepandukan ajaran Islam yang sebenar dan golongan tasahul yang bermudah-mudah dalam pelaksanaan syariat Islam.

Kedua-dua golongan itu dibiayai dan disokong oleh barat.

Pandangan tentang keterlibatan orang bukan Islam dalam perjuangan Islam menjadi topik perbualan juga.

Presiden PAS menceritakan hadis perang Badar, pembukaan kota Mekah dan hadis Rasulullah SAW yang mengizinkan Hakim bin Hiza’ yang memiliki senjata perang untuk menyertai Perang Hunain, menjadi dalil dan hujah untuk menerima dan menolak.

Selain itu, berdasarkan sirah Nabi SAW, baginda melakukan tahaluf siasi di waktu umat Islam kuat dengan tujuan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.

Nabi SAW tidak mengizinkan bukan Islam untuk menyertai peperangan pada perang Badar kerana di waktu itu, umat Islam belum cukup kuat dan hadis perang Badar dinasakhkan dengan hadis Fathul Mekah dan Perang Hunain. - HARAKAHDAILY 30/5/2015

Share on Myspace