Hikmah di sebalik pemecatan Muhyiddin

A KADIR JASIN | .

MOHON sabar kalau cerita ini panjang. Sukar hendak dipendekkan. Jadi saya mulakan dengan membuat kesimpulan iaitu:

Penyingkiran (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin pada 28 Julai dan penamatan undur tarikh (back-dated) perkhidmatan Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail 27 Julai tidak menyelesaikan apa-apa masalah sebaliknya memburukkan lagi keadaan negara dan imej (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak.

Implikasi dua peristiwa itu serta perubahan-perubahan lain yang menyusurinya di Jabatan Peguam Negara, PDRM, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) dan PAC adalah seperti berikut:-

1. Perdana Menteri terselamat daripada kemungkinan diheret ke mahkamah bersabit 1MDB dan SRC International. Satu “donia” sudah dengar cerita duit SRC International yang nawaitunya untuk kegiatan CSR (tanggungjawab sosial korporat) tetapi masuk akaun peribadi Perdana Menteri.

2. Menyiasat dan merangka pertuduhan melibatkan wang CSR SRC International lebih mudah kerana jumlah yang lebih kecil dan melibatkan hanya dua buah bank tempatan berbanding 1MDB yang membabitkan AS$700 juta.

3. Mohd Najib berjaya mengekalkan kuasa eksekutif tetapi di mata khalayak yang mengerti beliau telah hilang kuasa moral (moral authority) untuk memerintah.

4. Kuasa eksekutif beliau menjadi semakin kukuh kerana pengkritik beliau dalam Umno dan kerajaan telah disingkirkan atau digula-gula dengan pemberian jawatan menteri dan timbalan menteri.

Pasukan Petugas Lumpuh

5. Sekali gus pemberhentian undur tempoh Abdul Gani memporak-perandakan penyiasatan Pasukan Petugas 1MDB. Penyiasat akan terhenti atau dialih matlamatnya, pegawai ditukar dan fail-fail hilang atau dibakulsampahkan. (TI Malaysia berkata, Pasukan Petugas itu boleh dianggap terkubur tetapi MACC berkata ia akan meneruskan penyiasatan).

6. Tetapi maklumat berkaitan dengan penyiasatan 1MDB akan terus tersebar kerana banyak pihak dalam dan luar mempunyai maklumat dan dokumen mengenainya. Sudah terlambat menimbus bangkai gajah kerana sudah ditokak-tokak dan cebisannya dilarikan singa, cheetah, harimau bintang, dubuk (hyena), rubah, hereng, biawak dan helang.

1MDB ibarat bangkai gajah
 
7. Dengan melantik pembesar-pembesar Umno yang kemaruk kuasa dan bermuka-muka menjadi menteri dan timbalan menteri, Mohd Najib boleh mengarahkan mereka mengesan dan membinasakan pencuri-pencuri bangkai gajah itu. Inilah yang sedang berlaku dengan rancak sekarang iaitu mengalihkan perhatian daripada menyiasat jenayah kepada memburu pihak-pihak yang mendedahkan jenayah.
 
8. Gerakan taktikal Mohd Najib juga melumpuhkan PAC. Hatta pengerusi PAC, Nur Jazlan bin (Tan Sri) Mohamed Rahmat, yang bunyi begitu komited, ikhlas dan berani sebelum ini tetapi dengan riang rianya menerima jawatan timbalan menteri.
 
9. Speaker Dewan Rakyat sudah pun berkata anggota baru PAC tidak akan dilantik (sehingga Dewan bersidang Oktober ini). Namun Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw, wajib meneruskan tugas dengan ahli yang tinggal sekali pun tidak mendapat kerjasama pengurusan Parlimen atau hasil siasatan mereka tidak diiktiraf. 

Agen Bebas Muhyiddin Yassin 

10. Dengan penyingkirannya daripada kabinet, Muhyiddin boleh bertindak sebagai free agent mewakili Umno akar umbi kerana beliau adalah Timbalan Presiden Umno.
 
Muhyiddin boleh jadikan Umno kembali terangkun
 
11.Tetapi beliau harus berhati-hati meniti buih kerana Majlis Tertinggi yang berada dalam poket Presiden boleh menyingkirkan beliau atas alasan melanggar disiplin.
 
12. Muhyiddin boleh menjadikan Umno terangkum (inclusive) sekali lagi dengan berinteraksi dengan akar Umbi walaupun percubaan sudah mula dibuat bagi menyekat beliau mendampingi ahli.
 
12. Muhyiddin dan para penyokong beliau mungkin tidak berupaya mengubah keadaan di peringkat atas sama ada dalam Umno atau kerajaan tetapi mereka boleh mengubah persepsi dan sokongan rakyat jelata dan pengundi.
 
13. Mohd Najib mungkin telah berjaya berpaut kepada kuasa tetapi setiap hari berlalu ekonomi bertambah goyah, ringgit dibedal, pasaran modal lesu dan Malaysia menjadi bahan ketawa satu dunia.

Menara Dua Bukit Aman dijilat api
 
14. Sebagai renungan, apakah berkat apabila, sebaik sahaja menteri polis ((Datuk Seri) Ahmad Zahid bin Hamidi) dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri, menara dua Bukit Aman tiba-tiba dijilat api? Satu kebetulan yang sangat menakjubkan!
 
Wallahuaklam. - http://kadirjasin.blogspot.com/

 

Share on Myspace